• 24 Jun 2024 | 17 Zulhijah 1445

Malaysia Perlu Kekalkan Pendirian Terhadap Israel

KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Kerajaan Malaysia diharap terus mengekalkan pendirian tidak mengiktiraf negara haram Israel sejak dahulu sehingga kini walau menghadapi apa jua cabaran dan ancaman.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ketegasan untuk tidak menyokong 'two-state solution' juga perlu teguh dipertahankan.

"Kita tidak bercakap tentang nama siapa yang memimpin kerajaan pada hari ini cuma kita bercakap atas asas sebagai rakyat malaysia.

"Kita berbangga dengan pendirian negara kita sejak daripada merdeka sehingga ke hari ini, inilah pendirian yang perlu kita (bersama) pertahankan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media, sempena pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia baru-baru ini.

Turut hadir, Penasihat Liga Ulama Palestin, Dr Abdullah Almajedd Alzindani dan Ahli Koordinasi Ulama Palstein, Dr Ahmad Amir.

Dalam pada itu Dr Muhammad Khalil berkata, seluruh dunia pada ketika ini telah sedar akan kekejaman dilakukan rejim zionis terhadap umat Islam di Palestin ekoran daripada peristiwa 'taufan al-Aqsa'.

"Ini satu kejayaan sebenarnya dari segi hukuman mereka boleh lepas kerana di belakang mereka adanya Amerika yang merupakan kuasa besar dunia.

"Tetapi dari sudut moral, dari segi politik bukan sahaja orang Islam bukan bahkan orang bukan Islam termasuk di barat sudah nampak kezaliman dilakukan oleh Zionis Israel, sekarang orang sudah nampak ini sebenarnya wajah Amerika yang melindungi rejim tersebut," katanya.

Mengenai perkembangan semasa, katanya konflik yang berlaku di Palestin akan berterusan.

"Konflik ini akan berpanjangan antaranya kita melihat kenyataan-kenyataan daripada pimpinan zionis sendiri yang menyebut mereka akan mengembangkan operasi mereka ke Utara Israel dan akan berlaku pertembungan dengan Hizbullah di Selatan Lubnan," ujarnya.