• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Manifesto PRU14 : Impian Peserta RTB Mak Chili Jadi Kenyataan

KEMAMAN, 10 September - Tarikh 8 September, kelmarin menyaksikan tertunainya salah satu daripada manisfesto Kerajaan Negeri Terengganu yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu iaitu untuk mengembalikan semula tanah lot kediaman berkelompok (RTB) yang telah dirampas oleh kerajaan terdahulu semenjak tahun 2003. 

Bertempat di PASTI Adam Mak Chili, seramai 107 orang peserta RTB terkilan dari Kampung Mak Chili, Kemaman kini mampu menarik nafas lega apabila kembali menerima lot tanah masing-masing di dalam majils undi lot yang diadakan.

Mereka yang terlibat merupakan para peserta yang telah dinafikan hak milik mereka ke atas tanah yang telah dianugerahkan semenjak dari tahun 2003 oleh kerajaan negeri terdahulu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika ditemuramah berkata, kejayaan yang dikecapi pada hari ini merupakan hasil usaha sama daripada pelbagai pihak dalam memastikan RTB terkilan itu dapat dikembalikan kepada pemilik asal khususnya penduduk Kampung Mak Chili.

“Pihak kami akan terus komited dalam menyelesaikan isu berkaitan RTB terkilan ini. Proses yang memakan masa agak lama ini perlu diselesaikan secara berperingkat bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan tiada peserta yang tercicir,” ujar beliau kepada wartawan.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat khususnya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mak Chili dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih yang telah bertungkus-lumus membantu menyelesaikan permasalahan terbabit.

Sementara itu, rata-rata para peserta yang hadir di majlis tersebut melahirkan rasa kesyukuran atas penyerahan semula tanah terkilan tersebut setelah hampir 20 tahun menanti.

Mereka juga sewajarnya diberi pujian kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses mendapatkan semula tanah terkilan berkenaan dijalankan.


Tag: