• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Manis FM Kumpul Lebih 3,000 Pakaian Terpakai Untuk Asnaf


Nurul Mardiana (dua dari kanan) bersama kakitangan Manis FM ketika mengagihkan pakaian kepada golongan memerlukan di sekitar Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Manis FM buat julung kali melancarkan projek amal yang diberi nama sebagai #projekrayamanis, sempena lebaran tahun ini bagi membantu golongan tidak berkemampuan dan asnaf mampu memakai pakaian baru dan masih elok di musim perayaan ini.

Menerusi projek itu, lebih 3,000 helai pakaian terpakai dan baru dapat dikumpul hasil sumbangan semua kakitangan Manis FM dan pendengar stesen radio berkenaan yang mengambil peluang untuk turut serta menderma.

Penerbit Program Khas Manis FM, Nurul Mardiana Abdul Alim berkata, walaupun projek itu terhasil daripada idea spontan dan hanya digerakkan dalam waktu yang singkat, hasil sokongan semua pihak terutama pendengar Manis FM, pihaknya berjaya mengumpul barangan berupa pakaian termasuk pelbagai jenis beg hasil sumbangan orang ramai.

“Kita menggunakan platform radio untuk membuat hebahan mengenai projek ini dan sama sekali tidak menyangka ianya mendapat perhatian pendengar,"katanya.


Tambahnya, pihaknya turut mendapat kerjasama Majlis Agama Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi mendapatkan maklumat golongan asnaf untuk pengagihan barangan tersebut.

Menurut Mardiana lagi, barangan sumbangan orang ramai itu dipilih terlebih dahulu serta diasingkan dengan hanya mengambil pakaian yang masih elok serta baru mengikut kategori bagi memudahkan  proses pengagihan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

"Kami terlebih dahulu mengenalpasti lokasi dan rumah penerima dan memaklumkan untuk ke rumah mereka bagi menyampaikan sumbangan dan amanah orang ramai itu.

"Setiadk-tidaknya ia sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman di wajah mereka dan juga diharap dapat meringankan beban menyambut kedatangan Aidilfitri kerana tidak semua golongan mampu mengadakan pakaian yang sempurna di hari raya,"katanya.

Tag: