• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Manisfesto PN Berpijak Di Bumi Nyata

HULU TERENGGANU, 8 November - Calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid menyifatkan manisfesto yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara keseluruhannya adalah sangat baik, menyeluruh dan rasional serta dinanti-nantikan oleh rakyat.

Katanya, 12 tunjang PRU15 yang ditawarkan PN itu, menjadi antara pilihan yang terbaik untuk rakyat dan negara khususnya oleh golongan B40, anak muda dan belia di negara ini.

"Manifesto PN berpijak di bumi nyata dan yang mampu direalisasikan ...bukan satu janji kosong.

"Kita janji dan kita buat, saya yakin dengan tawaran yang diberikan ini akan ditunaikan oleh PN jika diberi kuasa memerintah pada 19hb ini,"ujarnya ketika ditemui pemberita.

Sebelum ini, PN menawarkan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran menerusi manifestonya sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertemakan 'Prihatin, Bersih dan Stabil' atau PN Best.

Antaranya membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus merupakan antara 12 tunjang yang ditawarkan PN sekiranya mendapat mandat rakyat pada PRU15 nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran itu digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara yang dianggap penting oleh mereka.