• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Mantan Exco Terengganu Meninggal Dunia, Hilangnya Permata

KUALA TERENGGANU, 10 September – Mantan Exco Kerajaan Negeri, Dr Abu Bakar Abdullah telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.28 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehilangan Almarhum diibaratkan seperti kehilangan sebutir permata yang banyak menyumbang bakti dalam bidang pendidikan buat ummah dan kerajaan pada tahun 1999 sehingga 2004.

“Khabar duka diterima lewat malam tadi, Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah telah kembali menemui pencipta. Takziah buat seluruh ahli keluarga,” katanya menerusi Facebook rasminya pagi tadi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, antara jasa beliau adalah membangunkan pusat pendidikan bersejarah, Institut Berakan dan juga Maahad Tahfiz wa Tarbiyah, Tok Jiring bersama Allahyarham Dato' Abu Bakar Chik.

“Seorang tokoh ulama yang tidak pernah kenal erti rehat dari medan dakwah dan perjuangan sehingga diuji dengan stroke yang menyebabkan pergerakan Ustaz sangat terbatas beberapa tahun lalu.

“Insya-Allah akan menjadi pahala jariah beliau yang panjang disamping pengajaran dan penulisan ilmu, dakwah dan perjuangan politik Islam yang beliau dokong sehingga ke akhir hayat.

“Beliau gigih menyumbang bakti bersama Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Ulamak PAS Terengganu dan berpengalaman panjang menyumbang jasa kepada rakyat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan menerusi sosial media rasminya, Solat Jenazah buat Almarhum Dr Abu Bakar Abdullah akan diadakan selepas selesai Solat Jumaat di Masjid Jamek Tok Jiring (MTT) dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan MTT.

“Manakala, bagi yang berhalangan untuk hadir dan juga keperluan menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP), Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu menyarankan agar dapat dilaksanakan Solat Jenazah Ghaib buat Almarhum selepas Solat Asar hari ini,” jelasnya.