• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Marang Boleh Dijadikan Pusat 'Edu-Tourism'

Oleh : Rohayati Ripin

MARANG, 30 November - Daerah Marang boleh dijadikan sebagai satu kawasan tarikan pelancongan 'Edu-Tourism' dengan pembangunan Bukit Kor sebagai hub pendidikan.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato Haji Yahaya Ali menyarankan, pembangunan infrastruktur di kawasan terbabit ditingkatkan bagi memenuhi tujuan berkaitan.

“Saya yakin Pejabat Daerah ada ‘blueprint’ macam mana nak bangunkan daerah Marang ini. 

“Bukit kor itu memang kita rancang untuk jadi tarikan utama pendidikan dan pelbagai akan  ditempatkan di sana. Kita nak jadikan Marang lebih dikenali sebagai ‘tourism’ dengan pelbagai perincian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Lawatan Kerja ke Pejabat Daerah Marang, semalam.

Katanya, daerah Marang merupakan satu kawasan yang kecil berhampiran dengan Kuala Terengganu tetapi agak mundur dari segi pembangunan.

“Dari segi pembangunan daerah Marang kita nak dikenali apa. Sebagai bisnes, nak kenal sebagai kawasan  pembangunan dari segi pendidikan umpamanya 

“Setakat ini saya masih berkeyakinan dari segi faktor penarik cara kita memikir daripada bagi tanah kosong, kita sendiri menyiapkan infra. Apa yang  kita nak bangunkan bangunan di sesuatu tempat katakanlah di Bukit Kor sendiri kita dah sediakan infra orang masuk tu basuh kaki je.

“Infra ini pertama sekali kita kena ada perancangan yang konkritnya. Yang keduanya apa sudah ada perancangan konkrit maknanya kita sudah bincang ni yang saya katakan tadi 'political will' . Perkara yang dilihat dalam kemampuan yang boleh menarik orang melabur tadi,” ujar beliau.

Beliau menambah, katanya, Menteri Besar dan exco kerajaan berkhidmat dan tinggal di kawasan ini yang mana kena diberikan keutamaan dari segi pembangunan.