• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Masalah Bau Busuk Dari Kilang Industri Kerteh Dijangka Selesai

Alias Razak

Masalah bau busuk dari sebuah kilang  memproses makanan haiwan di kawasan perindustran Kerteh , Kemaman, yang membelenggu penduduk di sekitar Bandar Paka sejak sekian lama dijangka akan selesai apabila pihak pengurusan kilang tersebut bersetuju untuk menambahbaik beberapa perkara yang berkaitan dengan masalah tersebut.

Keputusan tersebut diambil setelah pertemuan selama tiga jam oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak bersama pihak pengurusan kilang tersebut semalam.

Turut hadir, wakil Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Kemaman dan penduduk.

Pada pertemuan tersebut, Alias telah diberi penerangan berkenaan pengoperasian kilang itu dan beberapa perkara yang membawa kepada permasalahan yang timbul sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penduduk sekitar.


Alias ( kanan , hadapan ) sedang diberikan taklimat berkenaan pengoperasian kilang oleh pihak pengurusan kilang


Menurut  beliau, pertemuan itu atas dasar tanggungjawab kerajaan bagi membela dan menyelesaikan masalah rakyat susulan daripada banyak aduan yang dibuat berkenaan perkara tersebut.

"Sebanyak 14 aduan telah dibuat oleh penduduk dan kita juga dimaklumkan kilang ini pernah diambil tindakan oleh mahkamah dan juga pernah disaman namun perkara yang sama masih berulang.

"Jadi lawatan pada kali ini sebagai untuk mendapatkan maklumat lengkap berkenaan perkara tersebut agar satu penyelesaian yang terbaik dapat dibuat oleh pihak pengurusan kilang," katanya.

 Menurutnya, beliaau juga memandang serius permasalahan itu kerana melibatkan kesejahteraan penduduk yang terjejas apabila terpaksa menghidu bau busuk pada sepanjang masa.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan memikirkan untuk mengambil tindakan perundangan  sekiranya pihak pengurusan kilang tersebut gagal atau ingkar dengan arahan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Kita dari pihak kerajaan mahu pelabur dari luar untuk melabur di negeri ini supaya banyak peluang pekerjaan dapat diberikan kepada penduduk setempat dan pada masa yang sama juga kita juga tidak mahu pelaburan yang dibuat membawa perkara negatif  kepada masyarakat,"katanya.

 Alias berkata, pihak pengurusan kilang sudahpun melantik konsultan bagi membuat siasatan di sekitar kilang tersebut dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi isu masalah bau yang membelenggu penduduk sejak sekian lama itu.

"Pihak pengurusan kilang juga perlu bersama melakukan banyak program komuniti sosial (CSR) bersama penduduk agar sebarang permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dan penduduk dapat mengetahui sendiri setiap penyelesaian yang dilakukan oleh pihak pengurusan kilang tersebut,"katanya.




Tag: