• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Masyarakat Islam Perlu Kenang, hayati Sirah Perjuangan Nabi

HULU TERENGGANU, 30 Oktober – Masyarakat Islam perlu menghayati makna di sebalik sambutan Maulidur Rasul dan sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim berkata renungan dan peringatan zahir sahaja tidak memadai jika tiada pengisian penting dan penghayatan untuk mentafsirkannya dalam bentuk akidah dan amalan.

"Majlis seumpama ini penting bagi memperingati kisah perjuangan dan pengorbanan baginda berdakwah dan memartabatkan Islam.

 


"Ini juga merupakan kaedah penyatuan ummah dan permuafakatan paling berkesan bagi menyatupadukan masyarakat Islam daripada pelbagai perbezaan pendapat dan ideologi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi Tazkirah sempena sambutan Maulidur Rasul Dewan Masjid Kampung Menerong dekat sini, semalam yang disertai kira-kira 150 penduduk.

“Rabiul Awwal merupakan bulan yang sangat dimuliakan oleh orang Islam khususnya di seluruh pelosok dunia kerana pada tanggal ke-12 bulan tersebut merupakan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W," ujarnya.

Tambahnya lagi, dalam menyingkap tabir sirah Rasulullah, terdapat banyak peristiwa bersejarah yang berlaku dalam bulan tersebut sebelum kelahiran Baginda, antaranya ialah kegagalan tentera bergajah dalam cubaan untuk menghancurkan Kaabah.

“Setiap tahun hari kelahiran Rasulullah SAW diraikan supaya setiap umat Islam dapat mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman.

"Rasulullah SAW merupakan contoh yang terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidupan," katanya.