• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

MB Terengganu Berat Hati Bertanding Jawatan Naib Presiden PAS


KUALA TEREGGANU, 12 Jun - “Saya menerima pencalonan daripada kawasan-kawasan di peringkat akar umbi untuk bertanding jawatan Naib Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) walaupun berat hati atas dasar untuk menyuburkan ruang demokrasi dalam parti,” jelas Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden Pas dalam pemilihan parti sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-65 pada akhir bulan ini, namun dengan hati yang berat kerana mengenangkan penyandang sedia ada merupakan insan hebat yang telah menjalankan amanah dengan begitu baik.

Ahmad Samsuri yang juga Yang Dipertua PAS Marang berkata, pemilihan parti yang berlangsung setiap dua tahun sekali itu disifatkan adalah urusan dalaman 'keluarga' dan proses tersebut diharap akan berjalan lancar.

“Pemilihan dalam PAS adalah satu urusan dalaman keluarga yang berlangsung setiap dua tahun sekali dan ianya diharap berjalan dalam suasana yang harmoni.

“Saya menerima pencalonan daripada kawasan-kawasan untuk bertanding sebagai Naib Presiden PAS walaupun hati saya merasa berat kerana mengenangkan mereka (penyandang) yang ada sekarang ini adalah insan-insan yang hebat.

“Mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan begitu cemerlang. Mereka adalah abang-abang saya yang memberikan banyak tunjuk ajar dalam pelbagai perkara sebab itu saya merasa agak berat hati apabila menerima pencalonan itu, apa pun saya menyerahkan kepada seluruh perwakilan parti dalam Muktamar di Kuantan nanti,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Kejayaan Pasukan Inovasi Panji Innovation Laboratary (Pi Lab) SMK Panji Alam Dalam Pertandingan Euroinvent 2019 Romania di Dewan Jubli Emas SMK Panji Alam, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussin dan Pengetua SMK Panji Alam, Che Engku Noor Aien Che Engku Mahmood.

Menyifatkan dirinya sebagai calon ‘underdog’, beliau yang menyanjung tinggi ketiga-tiga penyandang dalam masa sama berharap agar mereka dapat terus menjalankan tugas dan amanah sebagai Naib Presiden di waktu akan datang.

Ahmad Samsuri berkata, beliau tidak mengganggap kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu akan memberi kelebihan besar dalam pertandingan jawatan Naib Presiden, sebaliknya menyifatkan dirinya masih lagi belum sempurna dalam tempoh setahun menerajui negeri ini.

Difahamkan, bagi jawatan Naib Presiden, empat nama melepasi syarat untuk bertanding iaitu tiga penyandang sebelum ini, Idris Ahmad, Datuk Nik Mohd. Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Tag: