Jalur Gemilang
Berita :
MBKT Perketat Kawalan, Sita Motor Jika Salah
MBKT Perketat Kawalan, Sita Motor Jika Salah
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
77

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan memperketat kawalan di kawasan tumpuan awam, khususnya laluan khas basikal dan pejalan kaki di Shahbandar dan mana-mana tempat di daerah ini, bagi membendung tindakan penunggang motosikal yang menggunakan laluan berkenaan sehingga mengundang risiko keselamatan kepada pengunjung.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, tindakan lebih tegas termasuk menyita motosikal akan diambil sekiranya kesalahan sama terus berulang.

Menurutnya, MBKT tidak akan memandang ringan perbuatan yang boleh membahayakan pengguna lain, terutama pengunjung yang menggunakan laluan berkenaan untuk berjalan kaki, beriadah atau berbasikal.

“Kita perketat kawalan. Kalau berlaku lagi, kita sita motosikal,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Tambahnya, MBKT turut akan menghubungi pihak polis bagi mendapatkan kerjasama dalam menangani isu berkenaan, termasuk membantu memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Kerjasama antara MBKT dan pihak polis itu penting bagi membendung perbuatan menunggang motosikal di laluan yang bukan diperuntukkan untuk kenderaan berkenaan, selain mengelakkan kejadian tidak diingini melibatkan orang awam," ujarnya.

Laluan berkenaan merupakan antara kawasan yang digunakan orang ramai untuk aktiviti rekreasi dan riadah, justeru aspek keselamatan perlu diberikan perhatian bagi memastikan kemudahan awam dapat dinikmati tanpa gangguan.

MBKT berharap tindakan kawalan dan penguatkuasaan yang lebih tegas dapat memberikan kesedaran kepada pengguna supaya mematuhi peraturan serta menghormati hak pengguna lain.

Justeru itu, orang ramai juga diseru supaya menggunakan kemudahan awam mengikut fungsi yang ditetapkan dan menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan pengunjung.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan