KUALA TERENGGANU, 20 Julai – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) turun padang bagi mendapatkan maklum balas dan mengenal pasti keperluan penduduk setempat yang boleh diusahakan bersama jabatan kerajaan berkaitan.
Datuk Bandar, Lizan Che Mat berkata, program berkenaan memberi peluang kepada pihak MBKT mendengar sendiri pandangan masyarakat selain melihat potensi kawasan yang boleh dibangunkan untuk manfaat komuniti pada masa hadapan.
Menurutnya, lawatan ke kawasan Bukit Buluh Gading, Kampung Kesom Che Nordin turut memberi gambaran lebih jelas mengenai keperluan asas, kemudahan awam serta cadangan pembangunan yang diperlukan penduduk setempat.
“Pendekatan turun padang ini penting supaya setiap perancangan pembangunan bukan hanya berdasarkan laporan di atas kertas, tetapi mengambil kira pandangan dan keperluan sebenar masyarakat,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, hasil lawatan dan perbincangan bersama penduduk akan diteliti bersama jabatan kerajaan berkaitan bagi mengenal pasti tindakan yang boleh dilaksanakan mengikut keutamaan dan kemampuan semasa.
Program tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan, ketua kampung, pengerusi masjid, wakil persatuan serta penduduk setempat yang berkongsi pandangan berkaitan pembangunan kawasan.
"Program seumpama ini mencerminkan komitmen MBKT dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti.
"Di samping memastikan setiap perancangan pembangunan mengambil kira keperluan dan potensi setempat ke arah mewujudkan bandar raya yang lebih sejahtera, inklusif dan mampan," ujarnya
Selain itu, pendekatan berterusan MBKT menerusi program turun padang itu dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan bersama komuniti dan memastikan pembangunan bandar raya Kuala Terengganu dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira suara rakyat.
