KUALA TERENGGANU, 24 Mei – Media yang berintegriti dan bertanggungjawab menjadi elemen penting dalam memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, sahih dan seimbang, terutama dalam era ledakan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) yang semakin mencabar.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Muhamad Daham berkata, perkembangan pesat media sosial dan teknologi komunikasi hari ini telah mengubah cara masyarakat menerima, menilai dan menyebarkan maklumat.
Menurut beliau, media kini bukan lagi sekadar platform melaporkan berita, sebaliknya turut berperanan sebagai institusi penting dalam membina pemikiran masyarakat serta memperkukuh keyakinan awam.
“Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, masyarakat bukan sahaja memerlukan maklumat yang pantas, tetapi lebih penting ialah maklumat yang benar, tepat, sahih dan boleh dipercayai.
“Justeru, peranan pengamal media yang berintegriti dan bertanggungjawab amat penting dalam memastikan penyampaian maklumat berkaitan dasar kerajaan, pembangunan negeri dan isu rakyat dapat difahami secara jelas dan seimbang,” katanya.

Mohd Azmi berkata, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan pihak media perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan maklumat kepada rakyat dapat disampaikan secara telus, matang dan konstruktif.
Katanya, Terengganu kini sedang bergerak aktif memperkukuh kedudukan sebagai antara hab ekonomi strategik di Pantai Timur, khususnya dalam sektor tenaga, logistik, maritim, pelabuhan, pelancongan dan pelaburan.
Menurut beliau, syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti EPIC Berhad turut memainkan peranan penting dalam merancakkan pembangunan ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan serta memperkukuh daya saing Terengganu di peringkat nasional dan serantau.
“Media bukan sahaja membantu menyebarluaskan perkembangan pembangunan negeri, malah turut menjadi rakan strategik dalam membina keyakinan pelabur, memperkukuh imej negeri serta menyerlahkan potensi Terengganu kepada dunia luar,” ujarnya.
Beliau turut mengakui tugas wartawan dan pengamal media bukan sesuatu yang mudah, namun setiap laporan yang disampaikan secara bertanggungjawab mampu memberi impak besar terhadap kestabilan sosial, keharmonian masyarakat dan kemajuan negeri.
Sehubungan itu, Mohd Azmi berharap hubungan strategik antara kerajaan negeri, agensi, syarikat berkaitan kerajaan dan pihak media akan terus diperkasakan demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.
Tag :