• 07 Dis 2021 | 2 Jamadil Awal 1443

Melancong Antara Negeri PKPP Dibenar Bersyarat

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan aktiviti pelancongan antara negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasaran, mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti tersebut tertakluk dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“la juga perlu menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC seperti bas pelancongan manakala dengan kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan.

“Pergerakan kenderaan dengan agensi pelancongan itu juga perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis.

“Kenderaan pelancongan juga dilarang singgah ke negeri di bawah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi pergerakan yang perlu melintas negeri tersebut," katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petang tadi.

Tambah Ismail Sabri, kelulusan MOTAC juga mesti diperoleh sektor penginapan dan premis pelancongan serta tiada pergerakan percutian dari negeri PKPB ke negeri PKPB yang lain.

Sehingga kini, tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat teknikal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) semalam turut bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi daripada PKPB kepada PKPP bermula esok.

“Langkah ini setelah hasil cadangan kerajaan negeri Kedah memandangkan daerah pulau ini sudah jadi zon hijau dengan dua kes terakhir direkodkan pada 20 Februari lalu.

“Kelonggaran ini berdasarkan model gelembung pelancongan, tetapi Kedah masih lagi berstatus PKPB seperti tujuh negeri lain dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelasnya.

Maklumat lanjut mengenai segala SOP yang terperinci boleh dirujuk menerusi laman sesawang rasmi pihak kementerian berkenaan dan MKN.