• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MN : PAS Tak Jemu Walau Ada Pihak Mahu Putus

MARANG, 16 Mei- PAS tidak pernah jemu untuk memastikan agenda perpaduan ummah melalui Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dapat diteruskan walaupun ada pihak yang mahu memusnahkan usaha itu.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ia merupakan satu perancangan besar dalam menyatukan rakyat dan tidak hanya berteraskan agenda kepartian semata-mata.

"Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa kita akan sentiasa berusaha bagi memastikan MN dan PN terus dapat bergerak dan menjadi alternatif serta pilihan yang terbaik dalam negara berbanding Pakatan Harapan (PH).

"Walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dan menyatakan MN telah tamat riwayat tetapi PAS melihat ia merupakan agenda yang besar untuk ummah bukan semata-mata untuk 'survival' parti politik tertentu semata-mata," katanya.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di sini, pada hari semalam.

Jelasnya, PAS akan tetap mempertahankan agenda tersebut walaupun disinis musuh dan pihak berkepentingan lain.

"Bagi kita ia bukan sepertimana yang digambarkan oleh sesetengah pemimpin parti politik bahawa bila orang tidak mahu kita tidak boleh terhegeh-hegeh, ini bukan soal bertunang, kahwin atau mencari anak dara, ini adalah perkara yang lebih besar dan penting daripada perkara lain.

"Insya-Allah kita akan meneruskan usaha ini sebagaimana sabdaan Nabi SAW, 'Siiru Ala Barakatillah' kita akan terus berjalan semoga mendapar keberkatan di sisi Allah SWT," ujarnya lagi.