• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'Mohon Tunjuk Ajar Senior-Senior' - MB Terengganu

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


KUANTAN, 21 Jun - Naib Presiden baharu PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan cuba menggalas tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya sambil mengharapkan bimbingan daripada 'orang lama' parti itu.

Ahmad Samsuri berkata, tugas baharu itu pastinya lebih mencabar dan memerlukan komitmen dan kepakaran yang tinggi.

Jelasnya, fokus parti khususnya tentang hala tuju untuk berdepan PRU15 dan hasrat kerjasama Pas dengan parti-parti lain pastinya menjadi keutamaan.

"Saya akan terus belajar daripada senior-senior saya dalam parti. Saya perlu dibantu dan dibimbing untuk sama-sama menjalankan amanah ini.

"Fokus kita tentunya untuk melakukan pengukuhan sebagaimana dalam ucapan dasar Presiden yang memperincikan banyak perkara dalam pelbagai sudut," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.


Pertandingan jawatan Naib Presiden PAS bagi sesi 2019 hingga 2021 menyaksikan kejutan apabila penyandangnya, Datuk Ir Iskandar Samad menolak pencalonan daripada perwakilan.

Sekaligus, ia memberi laluan kepada Ahmad Samsuri untuk mengisi kekosongan tersebut bersama Idris Ahmad dan Dato' Nik Mohd Nik Abdullah.

Keputusan itu diumumkan pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh.

Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri berkata, Iskandar telah menjalankan tugas dengan baik semasa beliau menjawat jawatan sebagai Naib Presiden parti tersebut.

Katanya lagi, Iskandar merupakan senior yang banyak berjasa dan akan terus menyumbang pada parti walaupun tidak lagi memegang jawatan ketiga tertinggi dalam PAS.

"Beliau juga telah melakukan banyak penambahbaikan terutama dari segi Unit Bencana dan penambahan ahli parti. Tentunya kerja cemerlang ini perlu diteruskan," tambah beliau.


Tag: