• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

MOSTI Giat Atur Program Tarik Minat Masyarakat



 Abu Bakar memotong riben sebagai gimik merasmikan Majlis Penutup Program Kimia Ke Desa 2016, Sempena Tanggungjawab Sosial Korporat (SCR) di Dataran Alor Limbat, Marang, semalam
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta agensi-agensi di bawahnya giat menyusun program dalam usaha meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat terhadap bidang sains dan teknologi.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, sebagai peneraju agenda sains, teknologi dan inovasi (STI) yang menjadi salah satu agenda pembangunan negara, pelbagai program telah diatur sebagai pengisian Dekad Inovasi.
Menurutnya, perkara itu selaras dengan matlamat agenda STI negara bagi merealisasikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju sains menjelang tahun 2020.
“Sepanjang pelan Dekad Inovasi itu, MOSTI serta agensi di bawah­nya merangka program-program tahunan seperti Karnival Kreativiti, Sains 4U, Jejak Ikon Saintis terma­suk Program Kimia ke Desa sebagai menyokong usaha tersebut.

“Program-program ini dilihat memberi manfaat kepada pelbagai golongan individu seperti pelajar, belia, kanak-kanak, wanita, pertubuhan bukan kerajaan dan anggota masyarakat sama ada di bandar atau kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kimia Ke Desa 2016, Sempena Tanggungjawab Sosial Korporat (SCR) di Dataran Alor Limbat, Marang, semalam.
Program yang berlangsung selama dua hari, berakhir semaalam itu menyediakan pelbagai aktiviti, termasuk ikon kimia, pertandingan CSI (Crime Scene Investigation ), memancing, dekorasi kek, wacana ilmu, gotong - royong dan sukaneka.     

Tag: