• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

MPKK Diseru Santuni Penduduk



Oleh: Mohd Haniff Abas

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diseru untuk menziarahi dan menyantuni penduduk kampung supaya dapat mengenalpasti permasalahan individu dalam kampung yang memerlukan perhatian dan bantuan dari kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sekiranya MPKK menjalankan tugas seperti yang diamanahkan, maka akan wujud keharmonian dan keamanan dalam kampung tersebut khasnya, dan dalam Negeri Terengganu amnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penyerahan Watikah Perlantikan MPKK Dun Buluh Gading 2018/2020 yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Banggol Tok Esah, semalam.


Majlis yang dihadiri kira-kira 450 orang ini terdiri daripada ahli jawatankuasa MPKK 32 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading.

Menurut Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, ahli MPKK perlu peka dan mengambil peluang dengan kewujudan Tabung Darul Iman yang kini perbelanjaan bulanannya mencecah RM1 juta sebulan. Antara penyalur bantuan yang lain adalah tabung MAIDAM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dana dari Pejabat Daerah.

Dalam keghairahan menjalankan tugas untuk membantu penduduk, MPKK juga tidak perlu mengharapkan dana dari pihak kerajaan sahaja, tetapi perlu sama-sama menggembleng tenaga untuk membantu antara satu sama lain, ujar beliau lagi.

Beliau menutup ucapan dengan harapan supaya dengan khidmat yang cemerlang dan terbaik yang diberi oleh semua peringkat kepimpinan masyarakat akan dapat melahirkan Negeri Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera.


Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan merangkap ADUN Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim, Penghulu Mukim Belara, Ngah Muda dan Penghulu Mukim Manir, Mazlan Ismail.

Tag: