• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

MPKK Perlu Peka Rungutan Masyarakat




Oleh: Asraf Ikhwan

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diminta agar sentiasa peka dengan rungutan orang kampung dan berusaha menyelesaikannya dengan segera mengikut saluran yang betul.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, ahli MPKK perlu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin serta bersedia melakukan pembaharuan di setiap kampung masing-masing.

"Kita mahu MPKK sentiasa mendengar rungutan dan turun padang menemui penduduk kampung. Biar ada beza dengan ahli MPKK terdahulu,"katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Kursus Kem Jati Diri MPKK Sejahtera 2018 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang, semalam.

Kursus yang melibatkan seramai 276 orang peserta di kalangan ahli MPKK Daerah Dungun dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.



Turut hadir, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Program Kem Jati Diri, Ustaz Raja Arizal Raja Arif merangkap Timbalan Pengarah i-MiTS.

Sementara itu, Dr Azman yang juga ADUN Jabi ketika berucap berharap ahli MPKK yang dilantik  bersemangat menjalankan amanah  seterusnya membawa imej yang baik kepada kerajaan negeri yang membawa slogan Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.

"Sekalung penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada para peserta kursus yang sanggup menunggu dari awal kem sehingga ke acara terakhir walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk beberapa hari," ujar beliau.




Tag: