• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MSNT Mulakan Proses Sanitasi Kawasan Kemudahan Sukan

KUALA NERUS, 18 Februari - Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hari ini memulakan kerja-kerja sanitasi di semua kemudahan sukan seluruh negeri Terengganu berikutan pembukaan sektor sukan pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula di negeri ini, esok.

Penolong Pengarah (Pengurusan Kompleks Sukan) MSNT, A. Zulkefli Mohammad memaklumkan, tugasan itu dimulakan di lapan kemudahan sukan utama di bawah pengurusan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak iaitu Stadium Sultan Mizan, Stadium Tertutup, Arena Lawnbowls padang latihan bola sepak dan ragbi, padang hoki, mini stadium serta litar permotoran.

"Proses sanitasi yang kita lakukan pada hari ini melibatkan anggota seramai 10 orang terdiri daripada kakitangan yang telah mahir dan mendapat tunjuk ajar dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu.

"Bahan yang digunakan juga merupakan bahan yang disyorkan Bomba serta menepati spesifikasi diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu program sanitasi di kemudahan sukan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini.

Jelasnya, program sanitasi itu merupakan proses kali keempat dilakukakn MSNT sejak pandemik Covid-19 lalu.

"Kita masih lagi berhati-hati menguruskan kemudahan sukan di Terengganu ini terutama di sini kerana ia menjadi tumpuan ahli-ahli sukan terutama pemain bola sepak dan atlet yang melakukan persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) nanti.

"Jadi, kawasan-kawasan yang kita jangka didekati atlet secara menyeluruh kita akan sanitasi. Selepas program hari ini, kita akan bergerak ke daerah-daerah contohnya asrama atlet, pusat latihan tinju di Besut dan dewan gimnastik di Marang. Kami berharap dengan adanya program sanitasi ini, kita dapat mengawal penularan di semua pusat sukan di negeri Terengganu," katanya.

Tambah A. Zulkefli lagi, usaha tersebut sebagai menyambut baik pembukaan semula sektor sukan dengan norma baharu yang diumumkan Kerajaan Persekutuan, baru-baru ini.

"Proses ini akan berjalan secara berkala, manakala bagi kemudahan yang bersaiz kecil, kita buat setiap hari contohnya kawasan gim akan dilakukan setiap sebelum dan selepas digunakan.

"Kalau pertandingan bola sepak pula, sehari sebelum pasukan bola sepak masuk stadium kita telah buat sanitasi dan selepas mereka keluar, keesokan harinya kita akan buat lagi sanitasi lokasi tersebut," katanya.

 


Tag: