• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Muktamar PAS: Kerjasama Pembangkang Natijah Terbaik PRU15

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUANTAN, 22 Jun - PAS mahu melihat kerjasama strategik antara parti-prti pembangkang memberi natijah terbaik untuk Pilihan raya Umum  Ke- 15 (PRU15) akan datang.

Naib Presidennya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap negeri mempunyai peranan masing-masing untuk tujuan tersebut. 

“Pada saya bukan persoalan Terengganu menjadi pelopor kepada penyatuan ummah kerjasama antara PAS dengan UMNO tetapi (peranan) parti-parti yang lain ke arah PRU15.

“Pada saya ia lebih kepada setiap negeri mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan kerjasama ini dapat di teruskan dan ianya akan membawa kepada kerjasama pilihan raya yang menyeluruh ke seluruh negara dalam PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Stadium Tertutup SUKPA di Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, berkata, parti-parti itu ada peranan masing-masing negeri dengan suasana yang berbeza-beza. 

“Suasana di Kelantan, Terengganu atau di Pantai Timur, tidak sama dengan suasana di Pantai Barat, ada keunikan-keunikan masing-masing.

“Semua ini perlu diterokai (explore) dan dilihat secara mendalam dengan satu objektif iaitu memastikan kerjasama strategik PAS dan parti-parti lain dalam pilihan raya akan datang memberi natijah yang terbaik dalam PRU15,” jelasnya.

Berhubung peranan Naib-naib Presiden PAS, beliau berkata, memang pada teorinya parti mahu ada wakil naib presiden di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Tetapi apa yang penting ialah semua Naib Presiden dan kepimpinan parti tidak bekerja seorang diri. Kita bekerja secara berkumpulan, dan membuat keputusan secara bersama dalam parti.

“Walaupun Naib Presiden daripada negeri tertentu seperti saya dari negeri Terengganu, Dato’ Nik Amar daripada Kelantan dan Ustaz Idris Ahmad daripada Perak, tetapi masing-masing mempunyai peranan untuk memastikan bahawa keseluruhan parti di negeri-negeri secara umumnya bahawa mereka boleh memainkan peranan yang sama seperti negeri-negeri yang lain,” jelasnya.

Katanya, tindakan itu juga dibuat oleh Naib-naib Presiden PAS sebelum ini apabila setiap mereka ada wilayahnya sendiri untuk berkhidmat.

“Sebagai satu contohnya untuk Sabah dan Sarawaknya ada Naib Presiden tertentu yang membantu seperti bapa angkat kepada negeri berkenaan.

“Pantai Barat, ada Naib Presiden yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga wilayah-wilayah di Pantai Barat,” ujarnya lagi.

Tag: