• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Muktamar PAS : Terengganu, Kelantan Bukti PAS Serius Banteras Rasuah

Abdul Hadi memeriksa barisan Jabatan Amal
KUANTAN, 21 Jun - PAS terus komited untuk  memperjuangkan negara beritergriti dan ia telah dibuktikan melalui dua negeri ditadbir mereka iaitu Terengganu dan Kelantan.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS bukan sekadar berteori semata-mata seperti sesetengah pihak.

"Berdepan dengan pentadbiran PH, PAS akan terus komited memperjuangkan Malaysia yang bebas rasuah, telus dan berdaya saing dengan kritikan yang membina sebagaimana yang kita tunjukkan selama ini.

"Kita bukan berteori kerana telah membuktikan dengan rekod bebas rasuah, telus, berhemat dan adil untuk semua sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan, Terengganu termasuklah Kedah, bukannya seperti Pakatan Harapan ibarat paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih," ujarnya.

Menteri Besar Kelantan dan Terengganu.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Abdul Hadi turut mengulangi saranan agar satu penilaian bebas dan menyeluruh dibuat menerusi badan yang berautoriti tinggi dalam menguruskan gejala tersebut 

Katanya, segala tuduhan rasuah juga haruslah disiasat dan diadili dengan cara yang terbaik tanpa memilih latar belakang orang yang didakwa.

"Segala pertuduhan rasuah dan pecah amanah perlu disiasat dan didakwa di mahkamah secara adil oleh hakim, bukannya dibicarakan di ‘mahkamah media’ oleh menteri," ujarnya.

"Ia harus dibuat melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).


"Bagi meneliti setiap laporan dan syor yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Bank Negara Malaysia (BNM)," kata beliau.

Tambah beliau, hal itu penting bagi mengukuhkan kedudukan kewangan dan kecekapan operasi di pihak Tabung Haji (TH), Felda, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan institusi ekonomi Bumiputera yang terpenting.
 


Tag: