• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Muktamar PAS: Terengganu Sedia Pelopor Gagasan Penyatuan Ummah

Ustaz Sulaiman Sulong.
KUANTAN, 22 Jun – Kerajaan Terengganu bersedia untuk menjadi jambatan penghubung agenda Penyatuan Ummah antara PAS, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Perwakilan Terengganu, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, dalam konteks negara Malayia, PAS perlu memimpin bagi memastikan penyatuan ummah dapat direalisasikan.

“Kita harus sedar dan akur bahawa perlunya dibentuk gagasan penyatuan baru antara PAS, parti-parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi mendepani isu dan kemelut perpaduan ini, agar ianya tidak membarah dan menghancurkan masa depan negara yang tercinta.

“Kita faham betapa sukar dan payahnya untuk membentuk penyatuan ummah. Banyak pengalaman pahit maung yang telah dilalui oleh PAS dalam melaksanakan agenda penyatuan ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.

Turut hadir Mursyidul Am PAS, Dato’ Hashim Jasin dan semua kepimpinan PAS Pusat.

Katanya, PAS pernah bersama dengan UMNO dan merasai betapa peritnya dicerai tanpa talak oleh UMNO Perikatan ketika itu.

“Kita pernah bersama dengan Parti Semangat 46 yang kini sudah berkubur tanpa kesan. Kita pernah bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bertujuan menyelamatkan Malaysia namun kita difitnah dan dinista sehingga kita dipaksa meninggalkan persefahaman tersebut.

“Segala pahit maung dan parut luka yang ditinggalkan masih membekas dan masih meninggalkan kesan.

“Namun di sana kebijaksanaan kepimpinan amat diharapkan agar agenda ini akan menjadi realiti yang bakal mengubat luka yang pernah terguris dek khianat dan rakusnya rakan yang dipercayai,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan berkata, PAS akan terus mencuba memimpin perpaduan dan membina rakan taawun siyasi bersama UMNO dan lain-lain parti politik serta NGO di saat mereka merasai peritnya hilang kuasa akibat tidak bersatu.

Katanya, rakan taawun perlu berjiwa besar dan berlapang dada untuk memberi ruang kepada PAS mengetuai gagasan penyatuan tersebut.

Beliau berkata, PAS perlu memimpin gagasan itu kerana parti itu Kosisten dan komited dengan agenda Islam dan penyatuan ummah serta keharmonian kaum dan agama sejak wujudnya PAS di negara ini.

Untuk merealisasikan gagasan tersebut, PAS Terengganu mencadangkan lima strategi untuk dilaksanakan termasuk budaya politik matang perlu diperkasakan dalam konteks kerajaan, parti politk dan NGO.

“Perkara ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan PAS Terengganu termasuk perundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam isu berkait dengan rakyat.

“Ini termasuk juga penyatuan Melayu Islam PAS, UMNO, NGO dan NGI, menangani isu perbezaan mazhab dan feqah dengan berhikmah, memperkasakan ekonomi ummah serta menangani keruntuhan moral dengan berkesan," jelasnya lagi.

Tag: