• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Muslimat Digalak Ceburi Perniagaan Dalam Talian

Ustaz Ariffin ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Brainstorming Lujnah Ekonomi Muslimat PAS Negeri di Hotel Permai, hari ini.

KUALA TERENGGANU - Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu digalakkan menceburi bidang keusahawanan dengan menerokai peluang perniagaan dalam talian bagi membantu mereka meningkatkan taraf hidup dan memperkasakan ekonomi keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, penglibatan dalam bidang keusahawanan terutamanya perniagaan dalam talian bukan sahaja membolehkan golongan wanita bekerja dari rumah seterusnya membantu golongan ini menjana pendapatan sendiri.

“Kerajaan negeri menyediakan peluang yang banyak untuk usahawan dalam talian mengembangkan perniagaan termasuk menerusi bantuan dalam bentuk latihan dan bimbingan.

“Kita akan bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman untuk membangun dan meningkatkan lagi usahawan dalam talian di negeri ini termasuklah usahawan dalam kalangan muslimat,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Brainstorming Lujnah Ekonomi Muslimat PAS Negeri di Hotel Permai (7 Oktober).

Sementara itu, mengulas mengenai program yang diadakan itu Ustaz Ariffin yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, beliau menyambut baik program yang diadakan bagi merealisasikan visi dan misi Lujnah Ekonomi Muslimat PAS Negeri itu.

“Program yang diadakan selama dua hari ini memang baik. Mereka dah bincang untuk meningkatkan ekonomi Lujnah bagi membantu muslimat di peringkat kawasan masing-masing.

“Antara yang mereka cadangkan adalah untuk melahirkan lima orang usahawan di setiap kawasan dan juga untuk melahirkan usahawan dalam talian.

“Saya mencadangkan Muslimat negeri mengadakan perbincangan lanjut dengan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri kerana kerajaan negeri memang banyak menyediakan bantuan perniagaan untuk membantu rakyat Terengganu termasuk muslimat,” ujarnya.


Tag: