• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Nelayan Besut Rangkul Anugerah Perdana MAHA

SERDANG, 8 Ogos – Pesatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Sektor Agromakanan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022.

PNK Besut menerima replika cek berjumlah RM50,000 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Perasmian MAHA 2022 di MAEPS, Serdang di sini baru-baru ini.

Pengurus Besar PNK Besut, Mat Aziz Omar, 60, berkata anugerah tersebut amat bermakna bagi mereka yang dianggotai seramai 1,450 orang ahli. 

“Kriteria dalam penentuan anugerah ini merangkumi projek ekonomi, kebajikan serta pengurusan organisasi yang holistik.

“Kita (PNK Besut) berkembang merentasi industri makanan apabila pihak persatuan turut mampu membekalkan minyak diesel serta ais kepada para nelayan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika dihubungi hari ini.

Mat Aziz turut berkata, anugerah tersebut menjadi satu kenangan istimewa buatnya sepanjang mengemudi PNK Besut sebelum menamatkan khidmatnya. 

“Pada 4 Ogos, kita turut menerima Anugerah Persatuan Nelayan Terbaik Peringkat Kebangsaan, membawa pulang sebanyak RM30,000 menjadikan jumlah keseluruhan bernilai RM80,000," ujarnya.

MAHA 2022 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diadakan bermula 4 sehingga 14 Ogos mengumpulkan berbagai-bagai produk yang dihasilkan daripada agensi kementerian itu.

Turut hadir ke Majlis Perasmian tersebut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.


Tag: