• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Nisa’ Hulur Bantuan Kepada Penduduk Pulau Redang

SETIU, 2 April - Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Wanita Kebajikan Nur Insani (Nisa') menyampaikan sumbangan kepada warga Pulau Redang yang memerlukan.

Pengarah Program Nisa' Small Kindness dan I Love School Ramadan, Nadwa Insyirah Hussin, berkata seramai 50 pelajar sekolah menerima sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah.

Selain itu katanya, 50 wanita muda lagi menerima kelengkapan wanita seperti telekung solat, kuih raya dan handsock.

"Para penerima turut diberi sumbangan duit raya sebagai persiapan menjelang Aidilfitri.

Ahli Jawatankuasa Nisa' Terengganu

"Nisa' I Love School ini adalah program tahunan Nisa' Terengganu, kami membantu pelajar yang memerlukan.

"Program ini sudah dijalankan lebih 10 tahun dan setiap tahun akan dipilih daerah yang berlainan untuk kami salurkan bantuan," katanya kepada media ketika program berkenaan semalam.

Sementara itu, jelas Nadwa, Nisa' Small Kindness pula adalah produk daripada Nisa Malaysia yang memfokuskan kepada kebajikan golongan wanita muda.

"Dana untuk sumbangan yang kami salurkan ini bukan daripada NGO Nisa sendiri tetapi sumbangan daripada penderma dan orang ramai. Kami hanyalah sebagai perantaraan sahaja untuk menyampaikan kepada penerima," katanya.

Penyampaian sumbangan

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Nisa' Malaysia, Laila Farhana Abu Bakar berkata, NGO Nisa' Malaysia merupakan satu pertubuhan NGO yang memperjuangkan kebajikan wanita muda di bawah 40 tahun.

"Selain memperjuangkan kebajikan wanita muda, matlamat kami juga adalah untuk menyampaikan islam kepada semua masyarakat islam terutamanya kaum wanita untuk menerapkan cara hidup islam yang betul.

"Jadi kami bukan sekadar hadir memberi sumbangan sahaja tetapi juga untuk menyampaikan ilmu kepada kaum wanita.

"Pertubuhan Nisa' ini terdapat di satu Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Jadi kami akan berhubung dengan Nisa' setiap negeri untuk bantu lebih ramai masyarakat di Malaysia," ujarnya.

Menurut beliau, bantuan yang dihulurkan bukan daripada sudut kewangan sahaja, tetapi turut memberi bimbingan kaunseling dan sebagainya memandangkan terlalu ramai orang yang mengalami depresi terutamanya kaum wanita.

"Sementara itu, sebab utama kami memilih program I Love School pula adalah untuk menyampaikan mesej bahawa hanya dengan pendidikan dan ilmu yang boleh mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat sama ada percaya atau tidak.

"Harapan kami, semoga dengan bantuan persekolahan yang kami salurkan ini akan memberi lebih semangat kepada adik-adik untuk hadir ke sekolah menuntut ilmu demi mencapai cita-cita dan kejayaan dalam ada sahaja bidang yang diceburi," tambahnya.

Ketua Pengarah Nisa Malaysia, Cik Laila Farhana Abu Bakar

 


Tag: