• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Norma Baharu Pelancongan Di Terengganu

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kerajaan negeri melaksanakan tiga fasa pelan pemulihan agar sektor pelancongan dapat dipulihkan dan kembali menjadi tulang belakang kepada ekonomi rakyat di negeri ini bagi menangani impak wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata bagi menangani wabak ini pihaknya telah membahagikan kepada tiga fasa iaitu pertama menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan, keduanya melestarikan pelancongan negeri Terengganu dan yang ketiga memacukan pertumbuhan sektor pelancongan.

“Alhamdulillah sebenarnya kita sedar kesan COVID-19 kepada nasib pelancongan dan sebab itu kita merancang mengadakan pelan rangsangan pelancongan Negeri Terengganu dengan membahagikan beberapa fasa

“Kita juga telah mengadakan operasi bersama personaliti berasal dari Terengganu contohnya masa PKP kita tidak boleh bergerak tetapi kita mengadakan program YouTuber YouTube bersama ikon dan serta barisan selebriti dengan menghasilkan video mempromosikan pelancongan.

“Oleh kerana wabak ini  turut memberi kesan kepada pemain yang terlibat dengan industri pelancongan ini, kita juga memberi bantuan ‘one-off’ kepada sebahagian di kalangan mereka antaranya pengusaha bot penambang, pengayuh beca dan pemandu pelancong,’’ katanya ketika ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

Sementara itu,dalam usaha  menangani isu yang berkait COVID-19, Ariffin berkata pihaknya membina dua sistem iaitu sistem Masuk.la bagi memudahkan proses merekod kehadiran pelanggan dan sistem CHASE COVID-19 yang mana satu  penilaian kesihatan kendiri yang lebih tepat.

“Sistem Masuk.la  macam Mysejahtera tapi khusus untuk di Terengganu bagi mendapat maklumat atau pergerakan rakyat negeri ini dan satu lagi khusus untuk pelancongan kita bina satu sistem yang dinamakan ‘CHASE COVID-19’ khusus kepada hotel-hotel, tempat pelancongan di pulau-pulau dan seumpamanya  bagi merekodkan kedatangan pelancong dan setiap hari direkod suhu serta perjalanan dan jika mereka demam terus kita bawa ke klinik yang berdekatan.

"Dalam masa yang, kerjasama dan pemantauan berterusan setiap produk dan lokasi pelancongan negeri telah dibuat oleh saya sendiri bersama jabatan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia Negeri Terengganu dan lain-lain," ujarnya lagi. 

Menurut beliau, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu juga tidak ketinggalan untuk memantapkan penggunaan media sosial iaitu Facebook, Instagram, Twitter, Weibo, WeChat dan Youtube Beautiful Terengganu Malaysia.

Pelbagai pengisian telah dirancang dan dilaksanakan seperti penerbitan video pendek produk pelancongan Negeri Terengganu, perkongsian bersama selebriti tempatan, pertandingan video dan fotografi dan macam-macam lagi

Justeru itu, sebaik diumum kebenaran rentas negeri, Terengganu antara negeri yang meriah dengan kedatangan pengunjung, data menunjukkan yang hotel-hotel di bandar telah mencatatkan purata penginapan sebanyak 30 – 40 peratus pada hari kerja dan 70 - 80 peratus pada hujung minggu.

"Begitu juga di pulau-pulau seperti Kapas, Perhentian dan Redang yang telah mencatatkan purata penginapan sebanyak 40 – 50 peratus di hari bekerja manakala 70 - 80 peratus pada hari minggu dan ada juga hotel di Pulau Redang yang mencatatkan purata penginapan sebanyak 75 peratus setiap hari selepas Perintak Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.