• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Operasi Cegah Maksiat Lebih Rancak Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Operasi Pencegahan maksiat di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2001 di Terengganu pada tahun ini dijangka akan lebih rancak.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Adnan Abdullah berkata, tahun terdahulu pihaknya lebih menumpukan kepada aspek pendidikan bagi memastikan rakyat mengetahui dan memahami setiap perbuatan yang menjadi kesalahan jenayah syariah. 

“Sebelum ini operasi pencegahan tetap ada, tetapi kerajaan lebih mengfokuskan untuk mendidik rakyat dahulu sebelum melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya.
 
“Insya-Allah operasi, kempen dan program penguatkuasaan yang dianjurkan kali ini akan melibatkan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebagai media rasmi.

“UPDI akan bertindak untuk menghebahkan program dan laporan operasi yang dilaksanakan JHEAT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UPDI selepas melakukan kunjungan hormat di Pejabat UPDI di sini semalam.

Mengulas lanjut Md Adnan berkata, penglibatan media atau UPDI sangat penting dalam memastikan segala kerja yang dilaksanakan pihaknya diketahui masyarakat umum.

“Jika tiada hebahan di media sosial, orang ramai tidak takut dan merasa bebas untuk melakukan perkara yang dilarang dan menganggap mereka tidak melakukan jenayah syariah.

“Kerjasama ini juga akan memastikan kempen tahun penguatkuasaa syariah atau kempen indahnya hidup bersyariah turut disambut baik oleh rakyat di Terengganu,” jelasnya.


Tag: