• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Orang 'Asal' Diminta Beri Kerjasama Saring Darah

Cikgu Haji Ab Razak (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Sungai Putih. 
Oleh: Aminji

KEMAMAN - Susulan daripada lima kes malaria yang menyerang penduduk Orang Asli Kampung Sungai Putih, satu Kempen Kesedaran Malaria telah dianjurkan oleh Unit Vektor, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman.

Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Cikgu Haji Ab Razak Ibrahim berkata, beliau berharap agar orang asli terus memberi kerjasama dalam proses saringan darah yang akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Ianya bagi memastikan kuman malaria tidak merebak dalam kalangan mereka.

“Kesihatan adalah satu aspek yang penting dalam kesejahteraan hidup rakyat.

"Justeru, usaha yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman ini adalah satu langkah terpuji kerana sanggup berkunjung ke kawasan yang jauh di pedalaman bagi menjaga kebajikan masyarakat,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Malaria di Kampung Sungai Putih, kelmarin (29 Ogos).

Cikgu Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih mengharapkan supaya program seperti ini dapat mengeratkan lagi perhubungan dua hala antara kepimpinan kerajaan negeri dengan masyarakat Orang Asli di Sungai Putih ini.

Saringan darah telah dilakukan oleh Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman yang diketuai  oleh Ketua Vektor, Dr Faizol Haris.

Turut berlangsung, aktiviti ceramah, pameran dan tayangan video tentang malaria di samping penyampaian bantuan keperluan harian oleh Cikgu Haji Ab Razak  kepada ketua keluarga 6 buah rumah panjang Orang Asli.


Aktiviti gotong-royong membersih kawasan juga dijalankan bersama dengan penduduk setempat.

Perbincangan dua hala turut diselitkan bagi mendengar rintihan dan keperluan yang diperlukan oleh masyarakat Orang Asli.

Program tersebut mendapat kerjasama yang baik oleh Orang  Asli yang diketuai oleh wakil Tok Batin, Amran Putih.

Perkampungan tersebut didiami oleh seramai 65 orang penduduk.

Turut hadir, wakil Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Air Putih.


Tag: