SETIU, 23 Julai - Penganjuran Outdoor Fest 2026 di Ulu Kasar Adventure Park, di sini, dilihat berpotensi mengangkat kawasan rekreasi itu sebagai destinasi pilihan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Program selama tiga hari itu menghimpunkan kira-kira 200 hingga 300 pencinta aktiviti luar dari seluruh negara menerusi konsep "Culture, Camping, Coffee" yang menggabungkan elemen perkhemahan, budaya dan kopi dalam satu platform.
Penganjur, Syed Hafizi, berkata festival berkenaan dianjurkan bagi menyatukan komuniti pencinta aktiviti luar sambil memupuk penghargaan terhadap warisan budaya tempatan yang menjadi antara kelainan penganjuran tahun ini.
"Kita mahu menghimpunkan peminat aktiviti luar dalam satu program yang bukan sekadar berkhemah atau beriadah, tetapi turut mengetengahkan elemen budaya supaya warisan kita terus dihargai.
"Pada masa sama, peserta dapat menikmati ketenangan alam sambil menghayati budaya dan menikmati kopi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata Ulu Kasar Adventure Park dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana memiliki keunikan alam semula jadi selain menawarkan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua lapisan umur.
Menurutnya, sambutan terhadap Outdoor Fest 2026 amat menggalakkan apabila kesemua 70 tapak perkhemahan yang disediakan habis ditempah dengan penyertaan majoriti dari negeri-negeri Pantai Timur selain Selangor dan Melaka.
Antara aktiviti yang menjadi tarikan utama ialah lawatan ke Santuari Kelah, river tubing, trekking, wall climbing serta pelbagai persembahan kebudayaan yang menjadi identiti penganjuran kali ini.
Syed Hafizi berkata Outdoor Fest bukan sahaja memperkenalkan Ulu Kasar Adventure Park kepada lebih ramai pengunjung, malah menjadi medium mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan rekreasi yang memiliki potensi besar untuk diterokai.

"Komuniti peminat aktiviti luar sememangnya sentiasa menyokong program seperti ini. Kehadiran mereka secara tidak langsung membantu memperkenalkan lokasi ini kepada lebih ramai orang, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti dan usahawan tempatan menerusi peningkatan jualan sepanjang program berlangsung," katanya.
Beliau berharap Outdoor Fest dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan sokongan Kerajaan Negeri Terengganu dan masyarakat setempat.

Bagi menjamin keselamatan peserta, khususnya ketika aktiviti trekking dan river tubing, pihak penganjur menyediakan khidmat jurupandu yang berpengalaman dan terlatih sepanjang program berlangsung.
Sementara itu, peserta dari Kuala Terengganu, Abdul Muhaimin, yang juga Presiden Terengganu Campers Community dengan keanggotaan seramai 285 orang, berkata beliau kembali menyertai Outdoor Fest buat kali kedua kerana program itu menepati minatnya terhadap aktiviti perkhemahan selain membuka peluang mengeratkan hubungan dengan komuniti pencinta aktiviti luar dari pelbagai negeri.

"Antara aktiviti yang paling saya nantikan ialah lawatan ke Santuari Kelah, river tubing dan wall climbing. Saya juga melihat Ulu Kasar Adventure Park semakin baik dengan pelbagai penambahbaikan terutama dari segi penyediaan tapak perkhemahan yang lebih selesa," katanya.
