• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

Pakatan `Copy Paste' Inisiatif Sudah Dibuat Kerajaan BN - Johari

Johari sebagai salah seorang ahli panel Program Ukhuwah Kasih & Ihsan Rakyat (UKIR) dan Sembang Santai Orang Muda Kuala Berang 2050 bersama -sama  Adun Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu menyifatkan manisfeto Pakatan Harapan (PH), 'satu rakyat satu rumah' sekadar 'copy paste' inisiatif yang telah diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar berkata manifesto tersebut tidak lebih kepada retorik semata-mata
dengan cuba memberi harapan palsu kepada rakyat.

"Apa yang saya lihat, PH cuba memberi harapan yang tidak realistik apabila mengumumkan tawaran rumah untuk rakyat menerusi satu daripada lima teras utama manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Jika dilihat kembali, tiada janji baharu yang segar dan realistik daripada manifesto berkenaan... semua kerajaan BN dah buat...dah laksanakan dan PH hanya 'copy paste'... cuba meraih undi dengan janji manis sebagai gula-gula supaya rakyat menyokong mereka.

"PH berjanji untuk membina pemilikan rumah pertama untuk setiap rakyat Terengganu, sedangkan ia sudahpun dilaksanakan kerajaan negeri melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), rumah mampu milik, rumah mesra rakyat dan pembangunan perumahan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), "katanya kepada pemberita di Program Ukhuwah Kasih Dan Ihsan Rakyat (UKIR) & Sembang Santai Orang Muda Kuala Berang 2050 di Dewan Komuniti Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto PH yang diumumkan oleh Azan Ismail dengan tawaran rumah untuk semua menerusi satu daripada lima teras utama manifesto PRU14.

Azan Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Harapan Terengganu mengatakan dengan populasi sejuta rakyat negeri ini, pihaknya yakin mampu membina sebuah rumah untuk setiap orang sekiranya berjaya menawan negeri ini dalam PRU itu nanti.

Johari turut menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kehendak rakyat terutama dalam isu perumahan dan menasihatkan PH supaya tidak menjanjikan sesuatu yang hanya retorik untuk dilaksanakan.

"BN tidak melontarkan janji palsu, apa yang kita janji kepada rakyat telah banyak dikotakan bagi memastikan rakyat Terengganu memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah setiap seorang pada masa akan datang.

"Ini terbukti baru-baru ini apabila kerajaan negeri telahpun bersetuju  membina sebanyak 300 unit Perumahan Rakyat di setiap DUN pada tahun ini untuk membolehkan rakyat memiliki rumah kos rendah," ujarnya.

Tag: