Berita :
Parkir Automatik Bertingkat Dalam Proses Dibaik Pulih
Parkir Automatik Bertingkat Dalam Proses Dibaik Pulih
Rohayati Ripin
6 jam yang lepas
314

KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Sistem parkir automatik bertingkat milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Jalan Batas Baru yang sebelum ini mengalami kerosakan kini sedang melalui proses baik pulih dan dijangka kembali beroperasi dalam tempoh enam bulan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat, berkata kerja-kerja pembaikan telah bermula pada Mac 2026 dan dilaksanakan oleh sebuah syarikat tempatan dari Kuala Terengganu.

Menurut beliau, kemudahan yang mula beroperasi pada 3 Februari 2021 itu merupakan sistem parkir automatik bertingkat pertama di Malaysia menggunakan teknologi jenis 'rotary type'.

“Parkir ini terdiri daripada 24 set sistem parkir yang mampu memuatkan 10 buah kenderaan bagi setiap set, menjadikan kapasiti keseluruhannya sebanyak 240 kenderaan.

“Kerja-kerja pembaikan dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan sebelum ia dapat digunakan semula oleh orang ramai,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan kemudahan tersebut telah dipajakkan kepada sebuah syarikat untuk tempoh 15 tahun.

Menurutnya, MBKT mengambil keputusan memberikan pajakan kepada syarikat berkenaan memandangkan operasi dan penyelenggaraan sistem tersebut memerlukan kepakaran khusus serta melibatkan kos yang tinggi.

“MBKT mempunyai kekangan dari segi tenaga kerja untuk mengendalikan sistem ini sepenuhnya, selain kos operasi dan penyelenggaraannya yang agak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Lizan turut memaklumkan bahawa sebuah bangunan terbiar di Jalan Engku Sar yang sering menjadi perhatian orang ramai kerana keadaannya yang uzur juga sedang menjalani proses baik pulih.

Katanya, bangunan berkenaan yang dahulunya digunakan sebagai tadika Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) dan terletak di atas tanah kerajaan itu akan dibaik pulih semula.

“Kita mahu memastikan bangunan tersebut dapat berfungsi seperti biasa dan dimanfaatkan semula. 

"Sebab itu pengurusannya diserahkan kepada syarikat yang akan mengendalikan dan menguruskan fasiliti tersebut,” ujarnya.

Beliau menambah, kerja-kerja baik pulih bangunan itu kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos tahun ini.

Tambah beliau, usaha pemulihan kedua-dua kemudahan tersebut diharap dapat meningkatkan imej bandar raya Kuala Terengganu dan memberi manfaat kepada pengunjung.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan