• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

'PAS Letak Dr Sam Untuk Jadi PM' - KJ

KUALA TERENGGANU, 29 November - Langkah PAS meletakkan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bukan semata-mata kerana ingin memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, tetapi merupakan usaha meletakkan Menteri Besar Terengganu itu sebagai Perdana Menteri Malaysia yang berkaliber pada masa akan datang.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia juga merupakan satu agenda memperkenalkan kepada negara bahawa PAS memiliki calon teknokrat yang sangat layak.

Ujarnya, dengan penampilan sulung sebagai Ahli Parlimen nanti akan memberikan keyakinan kepada rakyat dalam negara ini melalui kewibawaannya.

"Apabila dia masuk Parlimen nanti diharapkan (dapat mematikan) segala kritikan terhadap PAS, Perikatan Nasional (PN) tidak reti cakap tentang polisi, teknikal, mengenai sains, soal infrastruktur dan sebagainya.

"(Di mana) dia akan menampilkan perbahasan yang menyebabkan orang kata (melihat), eh, boleh terimalah dia (Dr Sam) sebagai Perdana Menteri," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran melalui podcast 'Keluar Sekejap', semalam.

Mengulas lebih lanjut, Khairy berpadangan bahawa langkah meletakkan Dr Ahmad Samsuri bukan langkah sembarangan sebaliknya PAS mahu membuktikan ada agenda besar untuk negara.

"Sebab itu langkah mencaturkan Dr Ahmad Samsuri adalah sesuatu yang sangat signifikan dan jangan kita ingat bahawa PAS letak Dr Sam kerana semata-matang hendak menang PRK Kemaman.

"Ini adalah satu langkah jangka masa panjang , suatu kenyataan (menzahirkan) hasrat untuk meletakkan calon Perdana Menteri daripada PAS," katanya.