MARANG, 26 Disember – PAS secara terbuka menzahirkan kekecewaan terhadap krisis di Perlis termasuk dengan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, semangat setiakawan politik sepatutnya dizahirkan, bukan mengkhianati kerjasama.
Beliau berkata, walaupun PAS tidak menghukum BERSATU sebagai sebuah parti secara keseluruhan, namun tindakan lima ADUN terbabit jelas bercanggah dengan semangat kebersamaan yang menjadi asas kerjasama politik.
“Kita tidak boleh menghukum BERSATU keseluruhan kerana dalam BERSATU ada pelbagai pandangan.
“Tetapi atas semangat setiakawan, sepatutnya ada tindakan terhadap lima ADUN itu,” katanya dalam sidang media di Rusila, Marang, hari ini.
Beliau menegaskan, kesetiakawanan menuntut kesediaan mempertahankan rakan, bukan bertindak dengan cara yang melemahkan kerajaan yang dibentuk bersama.
“Kalau benar setia kawan, sepatutnya sama-sama mempertahankan. Tetapi apa yang berlaku, sama-sama menjatuhkan,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa krisis di Perlis menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap PAS, beliau menafikan perkara itu.
“Kepercayaan tidak tergugat, tetapi kesetiakawanan itu sepatutnya ada,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa PAS sendiri pernah mengambil tindakan tegas demi menjaga disiplin dan kesepakatan kerjasama politik, termasuk di Kelantan sebelum ini, sekali gus menegaskan prinsip tersebut bukan bersifat terpilih.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata reaksi rakyat menunjukkan simpati yang semakin meningkat terhadap PAS, termasuk di media sosial, susulan krisis yang melanda Perlis.