• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PAS Pertahan Politik Matang

KUALA TERENGGANU,15 Mac- Budaya politik matang masih teguh dipertahan malah terus dihayati di semua peringkat hingga kini,” tegas Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Justeru katanya, Pas menolak dakwaan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali kononnya budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi dasar parti itu sudah lenyap.

“Tentang dakwaan itu kena tanya dia (Mohd. Khairuddin), saya pun tidak faham apa maksudnya kerana budaya itu ada dan sentiasa ditekankan oleh kepemimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Sejarah Dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Primula Beach Hotel, semalam.

Dalam laporan media sebelum ini, Mohd. Khairuddin mendakwa budaya politik matang dan sejahtera itu sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan susulan serangan bertali arus oleh kepemimpinan tertinggi parti dan Perikatan Nasional (PN) terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN). 

Katanya, tindakan menyerang UMNO/BN yang masih lagi rakan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) tidak mampu menarik penyokong BN untuk menyokong PN.