• 24 Jan 2021 | 10 Jamadil Akhir 1442

'PAS Tak Campur Urusan Dalaman Parti Lain'

KUALA TERENGGANU, 6 Januari – PAS hari ini mengulangi pendirian untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti lain.

Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebaliknya berkata, parti itu akan memberi komitmen sepenuhnya untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan rakyat serta negara.

"PAS tidak akan masuk campur dan tidak akan menjawab dalam hal urusan parti lain.

“Kami tetap dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan baik antara MN dan PN kerana itu adalah jalan terbaik untuk keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dalam negeri dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MOU Antara Terengganu Football Club Sdn Bhd Dan Universiti Sultan Zainal Abidin di Wisma Darul Iman, tengah hari tadi.

Mengulas mengenai hasrat UMNO Terengganu yang ingin bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN di negeri terbabit beliau berkata ia hanyalah masih di peringkat awal.

"Selagi rundingan kerusi (antara parti) belum selesai ia dilihat sebagai ‘wishlist’ sahaja.

“Pada masa sama, pengeluaran watikah pelantikan calon bagi semua parti-parti diputuskan di peringkat pusat dan dikeluarkan oleh presiden parti masing-masing,” ulasnya.