• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Pasar Tani Kemaman Sambut Bulan Kebangsaan Ke-61

Peserta menggayakan pakaian kreatif bertemakan jalur gemilang.
KEMAMAN - Sebanyak 118 buah gerai jualan meletop Pasar Tani Kemaman menyambut kemerdekaan dalam Program Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-61 anjuran Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pasar Tani Kemaman.


Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kemaman, Mohammad Ismail berkata, program pada hari ini adalah untuk membuat jualan murah samada barang dapur, ikan, ayam, sayur dan lain-lain.

“Antara harga jualan murah adalah sayur seikat hanya RM2, petai harga 50sen sepapan, harga ayam juga turun 30sen, ikan patin kurang satu ringgit, ayam gunting pakej dengan sosej RM10 dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berlangsung program Sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di Tapak Pasar Tani Kemaman, kelmarin (29 Ogos)..

Mengulas berkenaan program tersebut, Mohammad berkata, selain membuat gerai jualan murah, pertandingan buat bubur kacang juga diadakan yang dikacau oleh peserta pasar tani.

“Terdapat tiga periuk bubur kacang dan setiap satu periuk boleh dibahagikan kepada 600 bekas untuk diagihkan kepada para pengunjung pasar tani secara percuma.

“Dalam pada masa sama, pihak pasar tani menjemput artis sambil menderma untuk membuat persembahan iaitu Izam Eye,” katanya.

Seterusnya, terdapat beberapa pertandingan iaitu pemilihan pakaian bertemakan kemerdekaan dan gerai berhias bendera jalur gemilang serta teka kuiz sejarah kemerdekaan.

Menurut Mohammad, beliau tidak menyangka bahawa hampir 2,000 pengunjung datang untuk membeli-belah di pasar tani.

“Saya berharap program gerai jualan murah seperti ini dapat diteruskan pada setiap tahun bagi membantu rakyat di Kemaman,” katanya.

Tag: