Berita :
PASTI Terengganu Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Pendidikan Antarabangsa
PASTI Terengganu Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Pendidikan Antarabangsa
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Jabatan PASTI Negeri Terengganu mengharumkan nama negara apabila menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai 'Best Preschool of the Year' sempena World School Summit (WSS) 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Pencapaian berprestij itu sekali gus meraih perhatian Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu kebanggaan besar bukan sahaja kepada warga PASTI negeri, malah kepada negara.

Menurutnya, pengiktirafan berkenaan membuktikan kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang diterapkan oleh PASTI sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat global.

"Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna bukan sahaja kepada warga PASTI di Negeri Terengganu, malah kepada Malaysia secara keseluruhannya.

"Pencapaian ini bukan sekadar sebuah anugerah, bahkan merupakan pengiktirafan global terhadap komitmen berterusan PASTI dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak berteraskan nilai Islam, sekali gus membentuk generasi yang berilmu, berakhlak dan memiliki jati diri yang kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di media sosial rasminya, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha bersama seluruh warga PASTI yang sentiasa komited membangunkan pendidikan berkualiti berasaskan prinsip tarbiah.

"Saya melihat kejayaan ini sebagai hasil kesungguhan para pendidik, pentadbir, ibu bapa serta seluruh warga PASTI yang tidak pernah jemu berusaha membangunkan pendidikan berkualiti berasaskan prinsip tarbiah dan pembentukan insan," ujarnya.

Ahmad Samsuri berharap kejayaan tersebut akan menjadi pemangkin kepada PASTI untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.

"Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada PASTI untuk terus melakar kecemerlangan serta memperkukuhkan agenda pembangunan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Tahniah," katanya.

WSS 2026 Bangkok merupakan edisi ke-36 sidang kemuncak pendidikan antarabangsa yang menghimpunkan pendidik, pemimpin sekolah dan institusi pendidikan dari lebih 40 buah negara.

Acara tersebut yang telah berlangsung pada 25 April 2026 turut menampilkan sesi persidangan, perkongsian ilmu, jaringan profesional serta majlis pengiktirafan dan anugerah pendidikan antarabangsa.


Ketupat

Artikel Berkaitan