• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pasukan Hoki Terengganu Wajar Dipuji- Saiful Azmi

KUALA LUMPUR, 27 September- Sekalipun tidak berjaya membawa pulang Piala Tun Abdul Razak ke bumi Terengganu, keputusan Persatuan Hoki Terengganu (PHT) meletakkan gabungan pemain baharu dan lama dalam kejohanan itu, wajar dipuji.

Penaung PHT, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, barisan pemain yang dipilih juga mempamerkan permainan yang bagus sepanjang kejohanan sehingga dapat mencapai kedudukan naib juara.

"Kita melihat pemain-pemain muda kita perlu diberikan pendedahan supaya mereka lebih kuat dan bersedia untuk Sukan Malaysia (SUKMA).

"Insya-Allah, sasaran pasukan SUKMA lelaki untuk menaiki podium. Kita membuat perancangan untuk itu dan semoga mendapat apa yang disasarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak 2020, semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Terengganu tumpas 2-4 di tangan Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik itu turut meletakkan harapan kepada skuad hoki wanita negeri dalam SUKMA di Johor nanti.

"Pasukan wanita pula, kita harap mampu wujudkan satu keganjilan (keajaiban) walaupun kita tahu mereka masih baru dan perlu ditambah baik," katanya.

Dalam kejohanan yang berakhir semalam, Terengganu membariskan majoriti pemain SUKMA dalam pasukan lelaki.

Manakala, 100 peratus pemain SUKMA ditampilkan dalam pasukan wanita Terengganu.

 

 

 

 


Tag: