• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pasukan Terengganu Bawa Cabaran Negara Dalam AFF Beach Soccer Festival 2021

KUALA TERENGGANU, 9 November - Pasukan bola sepak pantai Terengganu, Markless Komii dipilih mewakili Malaysia dalam kejohanan AFF Beach Soccer Festival NSDF Thailand 2021, yang bermula 7 November lalu.

Pengurus pasukan Markless Soccer Team, Mohd Salleh Isa berkata, pasukannya dipilih berikutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kekurangan masa untuk membuat pemilihan dan membentuk pasukan bagi memenuhi jemputan kejohanan di Pantai Pattaya Utara itu.

“Jadi, FAM memberi tawaran ini kepada pasukan kami yang dibentuk daripada Markless Soccer Team dan NR Team Kemaman, membentuk Markless Komii bagi mewakili negara.

“Walaupun berdepan kekurangan, kami dengan semangat pemain yang ada cuba menyahut seruan tersebut,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Foto daripada: FB Kemaman Beach Soccer League

Jelasnya, para pemain berdepan kesukaran dalam membentuk pasukan untuk bersaing dengan Thailand A, Thailand B dan All-Star Inter yang turut menyertai kejohanan berkenaan.

“Sebenarnya, mereka hanya sempat berlatih dalam empat hari selepas mendapat jemputan dan berdepan cabaran untuk meningkatkan stamina selepas lama tidak menyertai kejohanan.

“Namun, mereka tetap mahu pergi bermain atas dasar semangat dan minat. Banyak juga tekanan yang perlu dipikul dari keluarga dan kerjaya untuk memikul cabaran negara selama lebih kurang tujuh hari ini,” katanya.

Lebih menarik, Mohd Salleh tidak menyangka pasukannya menang besar dalam perlawanan pertama pada 7 November lalu.

Kemenangan 13-3 ke atas All-Star Inter itu menaikkan lagi semangat pasukan untuk mencabar lebih jauh.

“Kami harap dapat berikan yang terbaik, kita hendak menang cuma dengan persiapan pasukan yang tidak seberapa, menang adalah satu bonus. 

“Fokus kami untuk memberikan yang terbaik buat negara sedaya upaya kami,” katanya.

Markless Komii akan bertemu Thailand A, dalam perlawanan kedua, jam lima petang ini dan maklumat lanjut mengenainya boleh didapati di Facebook Kemaman Beach Soccer League.

Foto daripada: FB Kemaman Beach Soccer League
​​​

 

 

 

 

 


Tag: