• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pawagam Terengganu Asing Tempat Duduk Lelaki, Wanita Bukan Mahram

KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Bagi memastikan segala aktiviti yang dijalankan di negeri ini mengikut syariat Islam, pawagam di Terengganu melaksanakan pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita bukan mahram.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, garis panduan mengenai perkara tersebut telah dikeluarkan kepada semua premis terbabit sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Peraturan baharu melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu terpakai kepada semua panggung wayang atau pawagam yang beroperasi dalam negeri ini.

“Ia dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Pada 4 Julai lalu, Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Square mengasingkan tempat duduk bagi lelaki, wanita bukan mahram dan keluarga.

Pengurus LFS, Mohd Zulmajdi Razali berkata, pihaknya menerima arahan daripada PBT untuk memperkenal dan melaksanakan peraturan itu kepada semua pelanggan.

“Pelaksanaan peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT),” katanya.

Menurut beliau lagi, pihak pengurusan LFS juga bertanggungjawab melakukan pemantauan di dalam panggung wayang sekiranya berlaku situasi mencurigakan.

“Bagi panggung wayang yang kecil, mereka yang berkeluarga boleh memilih untuk duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan manakala bagi dewan luas, kita telah bahagikan tempat duduk bahagian tengah panggung wayang untuk pasangan berkeluarga.

“Namun, pengunjung lelaki atau wanita boleh juga ditempatkan di tempat duduk bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan asalkan batas antara satu sama lain terjaga,” katanya.

Tambah Zulmajdi, penambahbaikan sedia dilakukan pihaknya bagi membolehkan ia dipatuhi dan memberi keselesaan kepada semua pelanggan.

Katanya, ini adalah peraturan baharu dan mungkin hanya LFS Kuala Terengganu sahaja yang melaksanakan peraturan ini di Malaysia setakat ini.

“Kami di peringkat pengurusan juga masih baharu dengan peraturan ini dan bersedia untuk memperbaiki sebarang kelemahan bagi memastikan kepuasan pengunjung yang datang ke sini,” ujarnya.


Tag: