• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pejabat Kesihatan Hulu Terengganu Rintis Amalan Makan Secara Sihat





Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu merintis  inisiatif di negeri ini untuk mempromosikan pengambilan buah dan sayur bagi membudayakan amalan makan secara sihat di kalangan masyarakat.

Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Noriah Mahmud berkata,  melalui pengambilan pelbagai buah dan sayur dapat melahirkan masyarakat yang peka terhadap cara pemakanan yang sihat seterusnya dapat meningkatkan prevalen pengambilan buah dan sayur.

"Hari ini kita lancarkan kempen ini bagi meningkatkan kesedaran pengambilan buah dan sayur mencukupi dalam pencegahan dan perawatan penyakit.

"Jadikan amalan suku suku separuh dalam kehidupan seharian iaitu suku protein, suku karbohidrat dan separuh sayur serta buah untuk badan yang sihat.

"Sebab kajian jelas terbukti bahawa pengambilan dari tumbuhan oleh mengurangkan insiden kejadian penyakit diabetes, kardiovaskular dan obesiti," kata Noriah kepada pemberita.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Kempen Makan Buah & Sayur Dan Kempen Pinggan Sihat Peringkat Daerah Hulu Terengganu di KB Street,Kuala Berang, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh  Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’Tengku Putera Tengku Awang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang.



Sementara itu,Tengku Putera berkata, kempen itu merupakan satu jalan untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya amalan ke arah hidup yang sihat.

"Yang paling penting, kita perlu membudayakan amalan pemakanan bermula di rumah dengan mendidik anak-anak tentang pentingnya mengamalkan pengambilan buah dan sayur,"katanya.

Tag: