lightning-solid
Berita :
Pelaburan AI Melonjak, Mampukah Grid Nasional Bertahan?
Pelaburan AI Melonjak, Mampukah Grid Nasional Bertahan?
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
23 jam yang lepas
52

KUALA LUMPUR, 24 Februari – Isu penggunaan tenaga dan air oleh pusat data kecerdasan buatan (AI) menjadi tumpuan di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh, menggesa kerajaan menetapkan standard kecekapan tenaga serta had jejak karbon kepada syarikat teknologi.

Ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri, beliau menegaskan bahawa perbincangan mengenai RUU Tadbir Urus AI tidak seharusnya tertumpu kepada isu hak cipta dan harta intelek semata-mata.

“Penggunaan tenaga untuk janaan AI sekarang begitu tinggi. Statistik di Amerika Syarikat menunjukkan pusat data menggunakan kira-kira 4.4 peratus bekalan elektrik negara tersebut, selain penggunaan air mencecah jutaan liter untuk penyejukan pelayan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada rang undang-undang berkenaan akan menetapkan standard kecekapan tenaga atau carbon footprint ceiling bagi syarikat yang mahu membina pusat data AI di Malaysia.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan berhubung kemasukan pelaburan pusat data secara besar-besaran yang berpotensi memberi tekanan kepada Grid Nasional.

“Bagaimanakah kerajaan memastikan ia tidak menyebabkan bebanan melampau kepada grid nasional yang akhirnya mungkin mengakibatkan kenaikan tarif elektrik atau gangguan bekalan kepada pengguna domestik dan IKS?” soalnya.

Menjawab perkara itu, Perdana Menteri mengakui penggunaan tenaga dan air oleh pusat data memang melonjak sejak kebelakangan ini.

“Sebab itu sejak setahun setengah, hampir dua tahun lalu, kita telah menghadkan kemasukan data center baharu yang tidak ada kaitan dengan AI,” katanya.

Menurut beliau, permohonan baharu yang sekadar memanfaatkan kos air dan tenaga lebih murah tanpa nilai tambah teknologi tinggi telah dihentikan.

Mengulas kebimbangan terhadap kapasiti tenaga, beliau menjelaskan unjuran oleh Kementerian Tenaga menunjukkan keperluan bagi satu hingga dua tahun akan datang masih dalam kemampuan sedia ada.

Namun, kerajaan turut merangka langkah jangka panjang termasuk pembangunan ASEAN Energy Grid serta perancangan penyaluran tenaga dari Sarawak ke Semenanjung dan Singapura.

“Saya ambil perhatian gesaan Besut. Walaupun mungkin tidak dimasukkan dalam peruntukan undang-undang ini, ia boleh dipertimbangkan dalam kerangka perundangan tenaga sedia ada,” katanya.

Isu kelestarian tenaga dan kestabilan grid dijangka terus menjadi perbahasan penting seiring pertumbuhan pesat industri AI negara.


Tag :

Artikel Berkaitan