• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pelajar AKMAL Cipta Sejarah Hafazan

Pelajar Hafizah Cemerlang, Engku Sofia Engku Saharuumnizam, 13, dari Teluk Kalung, Kemaman berjaya menghabiskan hafazannya dalam masa lima bulan 10 hari
MARANG, 19 Oktober - Seorang pelajar tahfiz Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) Terengganu melakar sejarah manis tersendirinya, apabila berjaya menamatkan 30 juzuk hafazan al-Quran kurang dari tempoh satu tahun.

Apa yang lebih membanggakan pihak pengasas dan pengurusan AKMAL Terengganu, apabila pelajar berkenaan berjaya menghabiskan hafalannya dalam tempoh lima bulan 10 hari sahaja.

Pengasasnya, Husin Ismail berkata, sistem hafalan di AKMAL ini ‘target’ boleh tamat 30 juzuk al-Quran dalam tempoh satu tahun.

“Sistem pengajian di AKMAL ini, pelajar yang berumur 10 hingga 12 tahun dari sekolah biasa (kerajaan), dia ‘berhenti’ (cuti) setahun untuk masuk kelas hafalan di sini.

“Insya-Allah, dalam masa satu tahun pelajar tadi yang ada minat al-Quran boleh tamat 30 juzuk dan ini terbukti, ada (pelajar) boleh tamat dalam masa lima bulan 10 hari sahaja, alhamdulillah.

“Apa yang penting, sokongan kuat dari ibu bapa bagi memberi semangat motivasi kepada anak-anak mereka,” ujarnya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Pusat Pengajian Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) Terengganu, Kampung Tebakang, Alor Limbat pada 17 Oktober lalu.

Pengasas AKMAL Terengganu, Husin Ismail berucap menyampaikan motivasinya kepada para pelajar
Kata Cikgu Husin, pengalaman beliau mendidik sembilan orang anak yang kesemuanya hafiz dan hafizah, mendorong inspirasi itu membuka kelas akademi tersebut.

Pelajar terbabit, Engku Sofia Engku Saharuumnizam, 13, dari Teluk Kalung, Kemaman berjaya menghabiskan hafalannya dalam masa lima bulan 10 hari.

“Saya masuk belajar ke sini (AKMAL) pada 1 Mei 2018 lalu dan tamat (hafizah) al-Quran ini pada 10 Oktober 2018.

“Saya anak kelima dari lapan adik-beradik dan bercita-cita untuk menjadi seorang Ustazah Hafizah di masa akan datang, insya-Allah,” ujarnya.

Menurut Sofia, dia suka belajar di akademi ini kerana seperti berada di rumah sendiri bersama kawan-kawan yang lain.

Guru hafizah sepenuh masa mampu mendidik pelajarnya hafal 30 juzuk al-Quran setahun
AKMAL Terengganu kini mempunyai pelajar seramai 21 orang terdiri dari 13 lelaki dan lapan perempuan, dengan tiga orang guru hafiz sepenuh masa.

Setiap kelas hafazan terhad untuk lapan hingga 10 orang sahaja dan sesi pembelajaran antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Apa yang menjadi kelainan di AKMAL ini, tidak ada hukuman fizikal kepada para pelajarnya yang buat salah serta melanggar peraturan. Namun, hukuman tetap ada tetapi dalam bentuk ilmiah.

Pelajar yang buat kesalahan akan dikenakan denda tambah masa (hafalan) belajar dan denda menulis al-Quran atau tulisan jawi.

Mengikut jadualnya, jam 8.00 hingga 8.45 setiap pagi adalah waktu motivasi. Jam 12.30 tengahari itu waktu wajib tidur setengah jam sebelum waktu Zohor dan tidur seawal jam 9.30 malam serta bangun awal untuk solat Subuh.


Tag: