• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pelancong Asean Teruja Terokai Terengganu

Sebahagian dari pelancong yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.


Kira-kira 3,000 pelancong Asean termasuk dari China, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura serta Myanmar mula tiba di Terengganu sejak petang semalam sebelum mereka diraikan di majlis makan malam bersama kepimpinan negeri, malam tadi.

Rata-rata pelancong menyambut baik dan teruja untuk melakukan lawatan ke destinasi menarik yang dijadualkan untuk mereka di sekitar Terengganu.

Seorang pelancong dari Brunei, Dayang Noyah Nayan, 53, berkata lawatan itu adalah kali keempat  ke Terengganu dan mengulangi percutian itu kerana terpesona dengan keunikan serta keistimewaan senibina yang terdapat di sini .
Dayang Noyah

“Saya memang suka ke Terengganu untuk melihat monumen-monumen yang ada terutamanya masjid-masjid di sekitar Terengganu.

“Kebiasaanya, apabila melancong ke Terengganu saya tidak akan terlepas dari melawat dari masjid ke masjid kerana senibinanya yang lain dari tempat-tempat lain,” katanya ketika ditemui di Majlis Makan Malam Meraikan Pelancong ASEAN, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, kepada Teganukita.

Seorang pelancong dari China, Li Ping Fang, 35, berkata dia begitu seronok menyertai pakej percutian pertama kali ke Terengganu .
Ping Fang

“Saya amat bertuah dapat menjejakkan kaki ke Terengganu kerana ini merupakan kali pertama saya ke negeri ini dan apa yang dapat saya lihat di sini, suasana sangat damai dan cantik.

“Saya juga tidak sabar untuk memulakan lawatan ke sekitar Terengganu bersama peserta rombongan esok (hari ini),” katanya.

Lawatan 3,000 pelancong ke Terengganu selama tiga hari bermula semalam menerusi kerjasama antara kerajaan negeri dan Mon Space Sdn Bhd akan dibawa meneroka tempat-tempat menarik di sekitar Terengganu termasuk ke Tasik Kenyir, Batu Bersurat (Hulu Terengganu) serta Pasar Payang, Kampung Cina, Pulau Warisan dan Noor Arfa Batik di Kuala Terengganu. 

Tag: