• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pelayar Terengganu Kuasai Kejohanan Di Pantai Tanjung Gelam

KUALA NERUS, 20 September - Pasukan Perahu Layar Terengganu mengungguli Kejohanan Liga Layar Terengganu (TSL-TSDP) Siri 2/2020  di Pantai Tanjung Gelam dengan menguasai kategori terbaik keseluruhan kategori Optimist bagi lelaki dan perempuan.

Atlet lelaki terbaik keseluruhan kelas optimis dijuarai oleh Asmadi Azman dalam tiga acara. Manakala, juara keseluruhan kategori perempuan kelas optimis dimenangi oleh Nur Faarihah Abdul Rani.

Asmadi Azman, yang merupakan anak jati Pulau Duyung Kecil berkata, antara cabaran yang dihadapi seperti isu angin laut perlahan yang memberatkan lagi perahu layarnya.

“Berkat doa ibu bapa dan tidak meninggalkan latihan secara berterusan adalah strategi saya dalam menghadapi cabaran dalam persaingan ini,” katanya petang semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Kejohanan Liga Layar Terengganu Siri 2/2020 yang berlangsung pada jam 5 petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah dan Ketua Unit Akademi Majlis Sukan Negeri Terengganu, Mat Noor Bidin.

Kejohanan itu disertai oleh 59 orang atlet. Terengganu diwakili oleh 17 orang atlet Sukan Malaysia (Sukma) manakala 31 orang lagi adalah atlet pelapis, manakala 10 orang atlet Sukma mewakili Kedah dan seorang mewakili Pulau Pinang.

Ketua jurulatih sukan pelayaran negeri Terengganu, Abdul Rani Idris berkata, kejohanan ini adalah aksi kali pertama atlet selepas terpaksa ditangguhkan atas sebab pandemik Covid-19.

Beliau mengulas, di antara fungsi kejohanan itu adalah untuk memperkasakan atlet selain mengenal pasti kelemahan dan ruang untuk penambahbaikan.

“Lokasi di Pantai Tanjung Gelam ini membantu dalam persiapan untuk Sukma Johor 2020 kerana lokasi perairan yang terbuka.

“Kita akan berlatih di sini dalam tempoh sebelum musim tengkujuh pada bulan November, kemudian latihan akan disambung di kawasan Duyong Marina,” ulasnya lagi.

Untuk rekod, kejohanan tersebut melibatkan empat kategori kelas iaitu Optimist, Laser, International 420 dan Windsurfing yang berlangsung di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus selama empat hari bermula pada 16 hingga 20 september.


Tag: