• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pelupusan Abu Al-Quran Guna Inovasi Baharu


Seberat 1.4 tan abu al-Quran lama dan rosak yang dikumpul dari seluruh negeri termasuk daripada orang perseorangan, masjid dan surau dilupuskan di tengah laut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Jabatan Laut Wilayah Timur, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata, program pelupusan al-quran itu merupakan kali keenam dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Sebanyak 49,000 kilogram al-Quran telah dibakar di relau oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), dan buat pertama kalinya menggunakan inovasi baharu dengan menghasilkan abu dalam bentuk kiub.

“Inovasi itu dihasilkan berikutan JHEAT berhadapan kesukaran apabila abu tersebut berterbangan ketika mengendalikan proses tersebut sebelum ini lalu melakukan inovasi dengan nasihat Jabatan Alam Sekitar,” ujarnya kepada pemberita ketika sidang media sempena program tersebut.

Turut hadir Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Wan Mohamad Wan Ibrahim.


Katanya, proses pembakaran dan menjadikan kiub ini akan diteruskan kerana lebih cepat, apatah lagi selepas Maidam meluluskan bantuan untuk membeli mesin penggaul.

Program itu bermula pada 10 pagi manakala sesi pelupusan mengambil masa kira-kira sejam di perairan Kuala Terengganu.

Tag: