• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pemain Industri Ambil Inisiatif Hidupkan Kembali Tenggol

DUNGUN, 2 Oktober – Pelbagai pemain industri pelancongan bergabung tenaga memeterai perjanjian bagi menghidupkan kembali Pulau Tenggol sebagai destinasi pilihan bagi aktiviti rekreasi air dan hutan.

Promosi 12 bulan oleh BXC Travellers (M) SDN BHD (BXCT) dengan pengusaha pusat peranginan, Tenggol Coral Beach Resort (TCBR) dan Persatuan Penyelam 1Malaysia Diver antara yang diusahakan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU).

Pengusaha TCBR, Joe Tan berkata, kerjasama tersebut merupakan acara yang sangat dinanti-nantikan oleh pengusaha di Pulau Tenggol dalam menghidupkan kembali pelancongan domestik setelah dilanda wabak COVID-19.

“Diharapkan kolaborasi menjadi pemangkin bagi banyak tempat pelancongan lain di negara ini supaya mereka juga dapat kembali maju melalui kerjasama strategik yang serupa antara pemain industri,” katanya ketika ditemubual pemberita, di Pulau Tenggol, semalam.

Sementara itu, Pengarah BXCT, Sophie Ken berkata, pakatan itu turut membuka ruang potensi ‘Edu-tourism’ atau elemen pendidikan dan pembelajaran dalam aktiviti pelancongan buat pengunjung domestic dan antarabangsa.

“Kami melihat ini sebagai masa yang tepat untuk mewujudkan semula Pulau Tenggol sebagai salah satu destinasi percutian terbaik termasuk dalam penerapan pengetahuan berkenaan hidupan laut dan ekosistem terumbu karang.

“Banyak fauna perairan dapat ditemui di sini dan tidak di pulau lain, yang telah lama menjadi rahsia terbuka bagi banyak penyelam tempatan yang sering berkunjung,” jelasnya.

Perkara tersebut turut disuarakan Noor Fadzli Shah yang menyifatkan usaha menaikkan kembali nama syurga skuba bertaraf antarabangsa itu sebagai permata tersembunyi di Terengganu.

“Sebagai penggiat aktif komuniti menyelam di Malaysia, kami bangga dengan cara pulau ini berjaya melestarikan hidupan liar laut dan ekosistem terumbu karang selama ini.

“Kami telah menunggu lama untuk kembali ke ‘kampung halaman’ di sini," katanya yang juga pengerusi Persatuan 1Malaysia Diver.