• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pemandu Teksi Bertindak Sebagai Barisan Hadapan Jayakan VBT 2017





Pemandu teksi diibaratkan duta kecil yang bertindak sebagai barisan hadapan (frontliner) dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada penumpang bagi menjayakan Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata, peranan mereka perlu diselaras dan disusun dengan baik memandangkan mereka adalah ‘frontliner’ yang mencerminkan imej Terengganu terutama kepada pelancong asing.

"Kita jual produk yang ada di Terengganu termasuk pelancongan dan bila orang ramai datang, mereka akan berbelanja malah jika mereka berpuas hati, mereka akan datang lagi dan semua pihak akan mendapat faedah.

“Justeru itu, adalah amat penting bagi pemandu teksi untuk mempunyai kualiti termasuklah bersikap mesra pelanggan di samping mempunyai pengetahuan tentang tempat tarikan pelancongan di sekitar Terengganu untuk dikongsi bersama pelancong,"kata Tengku Putera.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Baju Korporat Kepada Pemandu Teksi Daerah Hulu Terengganu di Dewan Besar Langgar Hulu, Plaza Rahmat OKB,Kuala Berang,semalam.

Turut hadir,Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik.

Seramai 60 orang pemandu teksi di daerah ini menerima baju korporat yang disampaikan oleh Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang.

Tengku Putera berkata, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi untuk pelancongan dan menyasarkan lima juta pelancong akan mengunjungi Terengganu sempena VBT 2017.

Katanya, pemandu teksi juga harus berani untuk melakukan perubahan bagi  meningkatkan mutu perkhidmatan di samping menambahkan pendapatan dalam era persaingan yang wujud ketika ini.

"Mereka juga perlu memberi layanan yang baik kepada semua penumpang, cekap, efisien, amanah serta mempunyai daya saing yang tinggi untuk membantu mempromosikan kawasan-kawasan menarik yang terdapat di negeri ini. Kena ubah cara dengan memberi perkhidmatan yang mungkin sebelum ini para pemandu cuma menunggu di stesen-stesen yang dikhaskan.

"Tidak salah kalau banyakkan kaedah seperti adakan khidmat ambil dari rumah (secara atas talian) atau jadi rakan niaga dengan restoran, hotel atau pusat-pusat kraf/pelancongan untuk menarik pelanggan,"katanya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi Mohamad Daud,56, berkata pemberian baju korporat ini menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri kepada mereka.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama kerajaan negeri atas pemberian baju ini dan memberi semangat kepada kami untuk bersama-sama dalam menjayakan TMT 2017.

"Keseragaman pakaian akan membantu meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan dan menyerikan imej pemandu teksi yang ada dalam memberi yang terbaik sebagai duta kecil,"katanya lagi.

Tag: