• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pembangunan Tenaga Solar Jana Hasil Baharu Terengganu

DUNGUN, 27 Januari - Pembangunan projek penjanaan solar bakal menjana pendapatan baharu kepada negeri Terengganu. 

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif pihak swasta dan negeri dalam menyediakan tapak seluas 200 ekar itu bakal memberi pulangan lumayan kepada negeri.

“Ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri dalam memastikan tanah-tanah terbiar selain untuk pertanian dan industri, digunakan untuk projek penjanaan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB).

“Ini komitmen kita dan kita akan memastikan bahawa penjanaan tenaga dan projek-projek seperti ini dapat dibawa masuk ke Terengganu demi kepentingan ekonomi kepada negeri dan khususnya rakyat di sini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Projek Large Scale Solar (LSS) berkapasiti 29.99 Megawatt oleh Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd (KGS) di Kawasan Perindustrian Santong, di sini hari ini.

Majlis tersebut dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai tetamu utama.

Turut hadir, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau; Dr. Mamad Puteh, Pengarah Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd; Dato' Sri Ong Ah Hwa dan Pengarah Malaysian Solar Resources Sdn Bhd; Ong Kah Hui.

Jelasnya, projek berkenaan dimulakan sejak 2018 dengan memanfaatkan 70 peratus tenaga kerja mahir dikalangan pekerja bumiputera. 

LSS dibangunkan di tanah berkeluasan 200 ekar (80.937 hektar) bagi menempatkan 197,000 panel solar melibatkan kos sebanyak RM180 juta.

Melalui projek tersebut, sebanyak 52,000 MW tenaga dapat dijana setahun dan dapat dibekalkan kepada sekurang-kurangnya 2,600 unit rumah setahun.

KGS menjalankan projek penjanaan solar tersebut dengan pajakan tanah selama 21 tahun daripada kerajaan negeri, termasuk menanggung kos menaik taraf kondisi tanah melibatkan kira-kira RM20 juta.

Dalam pada itu, Dr. Takiyuddin menyatakan, usaha Terengganu memulakan pembangunan tenaga solar merupakan antara terawal berbanding negeri-negeri lain.

“Kerajaan Persekutuan juga sedang mempertimbangkan permohonan-permohonan daripada beberapa kerajaan negeri untuk TBB ini.

“Kita hendak target tahun 2025 untuk mencapai 31 peratus sumber penjanaan elektrik daripada TBB antaranya melalui solar, tenaga hidro, hidrogen dan mungkin juga tenaga nuklear.

“Setakat ini, kita telah ada 22 peratus sumber penjanaan melalui TBB yang kita mahu tingkatkan sehingga mencapai 40 peratus pada tahun 2035,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Suruhanjaya Tenaga mengamalkan tender terbuka bagi mengawal kuota dan lebihan pengeluaran yang boleh menyebabkan harga jatuh.

“Semua sumber TBB yang dibuat di Malaysia juga tidak dibenarkan dieksport ke luar. Ini kerana, dengan TBB kita boleh menarik pelaburan negara luar yang mengamalkan dasar teknologi hijau,” katanya.

 


Tag: