• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pemilik Pasar Raya Perlu Pamer Tanda Halal

HULU TERENGGANU, 30 Disember - Pemilik pasar raya di negara ini digesa mempamerkan tanda sijil halal yang telah disahkan pihak berkuasa.

Langkah itu bertujuan menambah keyakinan pengguna terutama orang islam untuk membeli produk makanan terutama barangan import termasuk daging sejuk beku.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid, berkata walaupun pada setiap pembungkusan sudah ada tanda halal namun ia perlu dipamerkan juga pada papan tanda di pintu masuk premis bagi memudahkan pembeli membuat pilihan.

"Sekiranya gagal berbuat demikian, pihak kementerian tidak teragak- agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut akta-akta tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Tinjauan Pematuhan Skim Harga Maksima Musim Perayaan Krismas, di sebuah pasar raya di Kuala Berang, di sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang kempen pematuhan skim harga itu dijalankan, KPDNHEP telah memeriksa 9,629 premis dan mendapati 10 premis tidak mematuhi arahan dikeluarkan.

"Nilai kompaun RM1,100 kompaun dikenakan. Kita akan cuba pastikan semua peniaga dan peruncit mematuhi peraturan ditetapkan," jelasnya.

Ketika ditanya berkaitan perkembangan siasatan daging seludup, Rosol berkata kes itu sudah sampai ke penghujung dan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

"Untuk siasatan syarikat yang menjadi dalang berkaitan isu ini, hanya satu peratus produknya berada dalam pasaran dan semuanya sudah dirampas," ujarnya.

 


Tag:

Artikel Berkaitan